Azmin Ali teguh di belakang Lim Guan Eng

0
14

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menegaskan beliau teguh di belakang Guan Eng pada masa yang sangat menguji yang dihadapi oleh setiausaha agung DAP itu.

Azmin yang juga Menteri Besar Selangor dalam satu kenyataan media berkata, berkeyakinan penuh terhadap pentadbiran Lim Guan Eng sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang selepas beliau ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) petang Rabu.

Screen Shot 2016-07-01 at 3.34.00 PM“Beliau kini dianiaya penguasa yang bersungguh-sungguh mahu memperlekehkan dirinya dan pentadbiran Kerajaan Negeri Pulau Pinang,” katanya.

Guan Eng mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di Georgetown Khamis, atas dua pertuduhan rasuah berhubung penukaran zon pertanian kepada zon perumahan serta pembelian lot tanah dan banglo di bawah nilai pasaran.

Mengikut pertuduhan pertama, Guan Eng dituduh sebagai penjawat awam menggunakan kuasa sebagai Ketua Menteri berhubung perbincangan pengezonan semula tanah kepada Magnificient Emblem Sdn Bhd.

Bagi pertuduhan kedua, beliau didakwa menyalah guna kuasa sebagai Ketua Menteri untuk mendapatkan barang berharga sebagai balasan, iaitu lot rumah banglo bernilai RM2.8 juta, di bawah harga pasaran sedangkan nilai semasa RM4.2 juta.

Guan Eng dituduh mengikut dua akta berasingan, iaitu Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Di bawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, jika sabit kesalahan beliau boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun atau denda RM10,000 atau denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah nilai tuntutan palsu.

Manakala di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun dan penjara atau kedua-duanya.

Guan Eng dalam satu kenyataan berkata, kedua-dua pertuduhan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Kanun Keseksaan kerana perbuatan rasuah adalah jelas penganiayaan atau pendakwaan politik yang semata-mata untuk menghancurkan beliau sebagai ketua menteri Pulau Pinang.

Beliau berkata: “Saya telah menjelaskan kepada SPRM bahawa pembelian banglo dari Phang Li Koon adalah dilakukan dengan tulus hati, antara individu yang tidak mempunyai kepentingan perniagaan, atas dasar kerelaan penjual dan pembeli tanpa sebarang paksaan atau sebarang balasan istimewa daripada saya mahupun kerajaan negeri.”  -Sarawakvoice.com