Thursday, December 8, 2022

Sarawak bakal keluar nanas baka baharu MD2 – Naroden

Secara Rawak

KUCHING: Beberapa kawasan di Gedong, Mukah, Sarikei, Samarahan dan Simunjan telah dikenal pasti untuk dijadikan kawasan pengeluaran nenas berkualiti tinggi secara besar-besaran di negeri ini.

Menteri Muda Pembangunan Usahawan Bumiputera, Datuk Naroden Majais berkata, projek ini dijangka akan mula dilaksanakan selepas Hari Raya Aidilfitri nanti, dengan melibatkan spesies nenas baharu jenis MD2 yang berasal dari Johor.

“Baka nenas ini merupakan hasil kejayaan penyelidikan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) dan berpotensi ditanam secara meluas di negeri ini, berdasarkan bentuk muka bumi dan jenis tanah yang ada,” katanya.

Ketika ini tumpuan untuk projek perintis tanaman nenas manis yang mendapat pasaran meluas di Arab Saudi, Korea dan China ini adalah di kawasan seluas 1000 hektar di Hub Halal Tanjung Manis.

“Tetapi kita masih menunggu kelulusan daripada Kementerian Pembangunan Perindustrian, Keusahawan, Perdagangan dan Pelaburan (Mieti) untuk memulakan projek,” katanya selepas majlis penyampaian dividen interim berjumlah RM1.7 juta kepada wakil-wakil pemegang saham kelapa sawit di kawasan Simunjan dan Gedong semalam.

Majlis penyampaian yang disaksikan oleh Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem di pejabatnya di Wisma Bapa Malaysia ini memperlihatkan peningkatan amaun dividen sebanyak lebih RM40 ribu berbanding tahun lalu.

Ia adalah hasil daripada ladang kelapa sawit yang dibangunkan oleh Inderanika Sdn Bhd, melibatkan 3,500 peserta projek, yang berjaya menghasilkan lebih 2,000 tan kelapa sawit di kawasan seluas 10,000 ekar.

Daripada jumlah tersebut, hanya 4,800 hektar dapat dibangunkan manakala selebihnya masih berhadapan beberapa masalah.

Menjelas lanjut, Menteri Muda Perancangan Sumber itu berkata, nenas MD2 merupakan spesies baharu yang lain daripada yang ada di Sarawak. Dan ia dijangka akan dapat menyaingi pelbagai spesies lain termasuk Josephine yang turut dijayakan secara usahasama di antara Sarawak-Johor.

“Ketika ini kita sudah mempunyai pelabur, dan kini sedang menunggu ‘lampu hijau’ untuk memulakan projek.

Pelabur itu katanya, berasal dari Johor dan dijangka menggunakan model penanaman serupa di negeri asalnya untuk dibangunkan di negeri ini. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru