KUALA LUMPUR: Pas mengecam tragedi letupan terbaharu yang berlaku di Lapangan Terbang Atartuk, Istanbul, kelmarin.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, Pas secara konsisten mengecam sebarang tindakan pembunuhan yang melibatkan orang awam yang tidak bersalah untuk apa-apa tujuan sekalipun.

hadi awang“Pihak yang bertanggungjawab mestilah dibawa ke muka pengadilan. Tindakan kejam sebegini adalah bertentangan dengan ajaran Islam yang melarang sebarang tindakan kejam yang melibatkan orang awam yang tidak berdosa,” kata Abdul Hadi dalam satu kenyataan.

Laporan media antarabangsa menyebut kerajaan Turki sebagai berkata tiga pengebom melepaskan tembakan sebelum meletupkan diri mereka di lapangan terbang antarabangsa utama di Istanbul itu.

Penembak  bertopeng yang memakai pakaian serba hitam dikatakan menghalakan sasarannya kepada sesiapa sahaja di depannya.

Akibat serangan itu, menurut angka terkini, 36 orang terkorban dan hampir 150 orang cedera.

“Pas merakamkan ucapan takziah kepada seluruh mangsa dan keluarga yang terlibat dalam tragedi tidak berperikemanusiaan ini,”’ katanya.

Pas turut merakamkan ucapan takziah kepada Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan dan rakyat Turki yang menjadi sasaran beberapa siri letupan berdarah.

Katanya: “Pas juga menggesa semua pihak untuk tidak menuduh mana-mana pihak terutama sekali yang ada kaitan dengan Islam sebagai dalang tragedi ini sebelum bukti kukuh diperoleh.” – Sarawakvoice.com