Friday, August 19, 2022

Usah melatah, lihat isu rombakan kabinet secara menyeluruh – Abang Johari

Secara Rawak

KUCHING: Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg malam tadi meminta rakyat di negeri ini tidak melatah sebaliknya perlu melihat secara lebih luas dan menyeluruh berhubung isu rombakan kabinet yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak, Isnin lalu.

Menurutnya, walaupun tidak dilantik sebagai Menteri Penuh, masih terdapat pemimpin dari negeri ini yang dilantik sebagai Timbalan Menteri, dan untuk itu kita perlu merakamkan penghargaan dan terima kasih.

“Saya sendiri berpeluang bertemu dan berbincang dengan beliau (Perdana Menteri) di Kuala Lumpur pagi tadi (semalam) dan berdasarkan penerangan beliau, rombakan kali ini bertujuan untuk mengecilkan sedikit jumlah jemaah menteri selain memberi laluan kepada negeri Selangor untuk mempunyai seorang wakil dalam kabinet.

“Maka kerana itulah Tan Sri Mohd Noh Omar dilantik,” jelasnya selepas mengadiri Majlis Khatamal Al-Quran Jabatan Agama Islam Sarawak di Dewan Majma’ Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah di sini.

13507022_1127025214037713_1697161341084812760_n

Menjelas lanjut, Abang Johari berkata Sarawak masih mempunyai enam menteri penuh dan ia bermakna kita mempunyai suara yang besar dalam kabinet.

“Kita harus faham bahawa pelantikan ini adalah atas budi bicara Perdana Menteri dan beliau mempunyai justifikasi tersendiri terhadap tindakan dan keputusan yang diambil.

“Ini bukan bermakna Perdana Menteri tidak memberi penekanan terhadap kepentingan Sarawak, tetapi ia merupakan tindakan yang terpaksa diambil setelah melihat konteks negara ini secara keseluruhan.

Sebagai rakyat Sarawak katanya, rakyat negeri ini memiliki semangat tolak ansur yang tinggi dan lazimnya memahami kehendak dan aspirasi negara.

“Ketika ini dalam kabinet Pusat kita memiliki bukan sahaja wakil Melayu daripada Parti Pesaka Bumiputera (PBB) Sarawak, malah wakil Iban dan Bidayuh daripada parti komponen lain.

“Malah dalam rombakan terkini ini juga, masyarakat minoriti Lun Bawang untuk pertama kali diwakili.

Mengulas mengenai kabinet baharu ini, Abang Johari berkata, Perdana Menteri melakukan rombakan ini atas alasan untuk memberikan pendedahan dan pengalaman kepada pemimpin-pemimpin yang bertukar.

“Misalnya, ketika Datuk Seri Ahmad Husni (Hanadzlah) bersara, Datuk Seri Najib telah mengangkat Datuk Johari Abdul Ghani sebagai menteri penuh.

“Sudah tentu dengan latar belakang sebagai tokoh korporat sebelum ini, Datuk Johari akan dapat membantu Perdana Menteri dari aspek pengurusan ekonomi,” katanya.

Isu rombakan kabinet hangat diperkata di Sarawak setelah negeri ini kehilangan satu jawatan menteri penuh berikutan pelantikan Datuk Amar Douglas Uggah Embas sebagai Timbalan Ketua Menteri Sarawak serta Menteri Pemodenan Pertanian dan Ekonomi Luar Bandar. – Sarawakvoice.com

13a9a874-c10f-417e-9d8c-0d5849c33cd9

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru