Saturday, December 3, 2022

Suara Sarawak selepas PRN ke-11

Secara Rawak

Dr Lee Kuok Tiung, UMS
Dr Lee Kuok Tiung, UMS

Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-11 yang lalu Tok Nan telah menyeru rakyat Sarawak mengundi Pasukan Adenan untuk memberikan beliau mandat yang lebih besar dan kukuh untuk berunding dengan Kerajaan Persekutuan.

Apa yang boleh dilihat ialah Tok Nan boleh mendakwa suaranya mewakili seluruh negeri Sarawak berdasarkan jumlah kerusi dan undi popular yang dimenangi oleh pasukannya.

Menang 72 daripada 82 kerusi atau bersamaan dengan 87.8% adalah suatu pencapaian yang cukup menakjubkan untuk BN Sarawak terus memerintah buat penggal ke-11.

Rakyat Sarawak juga tidak lupa janji Tok Nan dan sudah mulai menilai tindak-tanduk beliau serta pasukannya dari detik pertama beliau mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri.

Meskipun pada awalnya timbul juga pertikaian mengapa tiada wakil komuniti Cina yang dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri, jawatan Menteri Kerajaan Tempatan yang diberikan kepada wakil daripada parti SUPP merupakan portfolio yang cukup penting.

Wakil daripada ‘calon langsung BN’ pun dapat satu biarpun lambat-laun perlu juga ada langkah berani daripada Tok Nan untuk menyelesaikan polemik berbangkit sekali dan untuk semua.

SUPP, parti tertua di Sarawak telah jatuh merudum pada dua siri PRN yang lalu hinggakan ada pihak yang menggelarnya sebagai ‘parti nyamuk’ sebelum PRN Sarawak ke-11 untuk menafikan hak mereka ke atas kerusi-kerusi tradisi mereka untuk diserahkan kepada ‘calon langsung BN.’

Begitu pun transformasi yang diterajui oleh Prof. Dr. Sim Kui Hian berjaya merubah wajah SUPP dan mengembalikan parti itu diletakkan sebagai rakan penting dalam BN Sarawak.

SUPP dengan tema manifesto ‘Safeguard Sarawak’ untuk melindungi hak-hak Sarawak sebagaimana yang termaktub di dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sebagai salah satu rujukan utama mereka.

Sebahagian daripada pemimpin barisan pelapis mereka seperti Michael Tiang dan Milton Foo bukan sahaja terlibat dalam forum S4S, tetapi dilihat bersama-sama menyokong petisyen S4S dengan membantu mengesahkan salinan petisyen mendesak agar digubal suatu akta referendum atau ordinan untuk mengadvokasi hak-hak negeri Sarawak dalam Persekutuan Malaysia.

S4S atau ‘Sarawak for Sarawakians’ telah berjaya mengumpul sekitar 300,000 tandatangan bagi maksud tersebut.

Mungkin persoalan siapakah  di sebalik gerakan S4S itu sekali-sekala timbul juga di minda tetapi yang pasti sudah menjadi norma biasa nampak kenderaan dengan pelekat S4S di atas jalan atau individu berpakaian t-shirt S4S di Sarawak pada hari ini.

the adenan way (1)Apa-apa pun gerakan menuntut hak dan autonomi Sarawak tidak akan tiba-tiba timbul begitu sahaja tanpa sebab dan ini membawa kepada dakwaan keciciran Sarawak dan Sabah dalam arus pembangunan walhal kedua-duanya merupakan penyumbang utama pendapatan negara menerusi hasil minyak.

Sebelum PRN ke-11, Tok Nan dalam tempoh singkat dua tahun telah berjaya melakukan 53 perkara penting demi kesejahteraan rakyat Sarawak.

Kepercayaan yang diberikan kepada beliau menerusi PRN ke-11 sudah pasti akan meningkatkan lagi kesungguhan beliau untuk membawa lebih banyak pembaharuan positif.

Dasar inklusif Tok Nan yang ingin menyaksikan lebih ramai penyertaan daripada semua pihak menyaksikan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-18 minggu lalu beliau telah menubuhkan Unit Hal Ehwal Bukan Islam yang dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Langkah yang disambut baik oleh semua pemimpin dan pegawai kanan pertubuhan dan persatuan bukan Islam Sarawak sebenarnya bertujuan menjambatani institusi-institusi keagamaan dengan kerajaan agar lebih banyak interaksi dan kerjasama dapat diusahakan demi kepentingan publik serta tiada yang tercicir.

Lebih banyak langkah dipercayai akan diperkenalkan oleh kerajaan BN Sarawak untuk mengatasi persepsi Sarawak telah dipinggirkan oleh Putrajaya.

Biarpun penstrukturan semula kabinet semalam ternyata sedikit sebanyak mengecewakan rakyat Sarawak apabila tiada jawatan menteri penuh persekutuan yang diberikan kepada Ahli Parlimen (MP) dari Sarawak baik mengisi kekosongan Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi mahupun mana-mana kementerian yang lain, rata-rata sedar juga itu ialah prerogatif Perdana Menteri untuk melantik barisan kabinetnya.

Apa yang boleh dilakukan termasuklah kolaborasi yang bersifat regional antara Sabah dengan Sarawak untuk mencapai kesepakatan termasuklah hal-hal yang berkaitan dengan MA63. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru