Friday, October 7, 2022

Ketika bedil mula berbunyi di Betong

Secara Rawak

BETONG: Ketika dentuman meriam buluh atau “bedil” (Bahasa Sarawak) mula kedengaran, bau kari serta ketupat dan aroma pelbagai jenis kek yang kian semarak menjelang sambutan Lebaran, pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat turut tampil menghangatkan ketibaan Syawal dengan menghulur sumbangan untuk golongan yang kurang berkemampuan di daerah ini.

Bertempat di Rumah Rehat Kerajaan Betong dilangsungkan Majlis Sejambak Kasih Hari Raya Aidilfitri 2016 untuk tujuan berkenaan.

Seramai 150 penerima diraikan dalam majlis berkenaan. Mereka yang terlibat menerima sumbangan berupa bungkusan hamper dan duit raya berjumlah RM100 setiap seorang.

Sumbangan berkenaan membabitkan peruntukan sebanyak RM22,500.

Penyerahan sumbangan tersebut disempurnakan oleh Menteri Muda kebajikan dan Kesejahteraan Masyarakat, Dr. Abdul Rahman Ismail yang juga merupakan ADUN Bukit Kota.

Abdul Rahman dalam ucapan ringkasnya mengucapkan selamat menjalani ibadah puasa dan selamat Hari Raya kepada semua penerima yang terlibat.

“Tidak lupa ucapan terima kasih untuk Jabatan Kebajikan Masyarakat yang telah menyalur peruntukan untuk majlis pada hari ini. Diharap sumbangan ini dapat memberi manfaat kepada penerima sempena Hari Raya yang akan tiba tidak lama lagi,” ujarnya.

Hadir sama Wakil Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri, Mordiah Haji Sulaiman dan wakil Pegawai Daerah Betong, Paimon Pashar. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru