Wednesday, June 29, 2022

Polis kerja siang malam mahu tangkap pembunuh Bill Kayong

Secara Rawak

KOTA SAMARAHAN: Dalang atau penembak Setiausaha Parti Keadilan Rakyat (PKR) Miri, Bill Kayong belum ditangkap.

Tetapi pihak polis tidak akan mudah mengangkat bendera putih.

Sebaliknya, usaha digiatkan dengan polis bekerja tanpa mengenal masa dengan motif tumpuan berkaitan isu tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) Bekelit di Bekenu, isu peribadi babitkan mangsa, dan pergolakan dalaman beberapa pertubuhan bukan kerajaan.

“Kita bekerja siang dan malam untuk menyiasat dan menyelesaikan kes berkenaan,” kata Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mazlan Mansor, hari ini

Beliau berkata demikian kepada media selepas melancarkan Op Selamat 9/2016 sempena sambutan Aidilfitri di Summer Shopping Mall di sini.

Kata Mazlan, siasatan masih diteruskan oleh pasukan khas yang diketuai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sarawak SAC Dev Kumar yang ditubuhkan bagi menyiasat kes berkenaan.

Semalam, Dev berkata, polis menolak pembunuhan itu berkaitan dengan motif politik atau perkauman.

Dev mengakui bahawa kes ini adalah rumit dan memerlukan masa untuk diselesaikan.

“Beri kita masa untuk jalankan siasatan dengan teliti dan terperinci,” katanya.

Beberapa hari lalu tersebar gambar melalui media sosial kononnya individu terbabit tersangka yang dicari polis.

Dev menggesa pengguna media sosial supaya menghentikan penyebaran gambar berkenaan kerana boleh menjejaskan siasatan polis.

Bill ditembak mati menggunakan senapang patah oleh orang tidak dikenali pada pagi Selasa minggu lalu.

Banyak pihak, termasuk pemimpin politik mengutuk keras tindakan berkenaan. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru