David mahu kembalikan momentum kemenangan Ngap Sayot, Teah Dennis hampir pasti dalam dakapan

0
11

KUCHING: Mengekalkan momentum kemenangan selepas empat minggu berehat bukan tugas yang mudah, namun itulah hakikat yang terpaksa ditelan pengendali skuad Ngap Sayot, David Usop menjelang saingan pusingan kedua Liga Super dan Piala Malaysia selepas Aidilfitri ini.

Skuad Sarawak yang kini dalam rangka mengadakan perlawanan persahabatan di Semenanjung sedang berusaha mengembalikan rentak kemenangan mereka selepas mengalahkan Perak di tempat sendiri dan gelanggang lawan bulan lalu.

“Pada masa yang sama kita juga sedang membina kombinasi mantap di pelbagai posisi, termasuk pertahanan, selepas kehilangan Davide Grassi, yang mengambil keputusan untuk meninggalkan kem Sarawak.

Terdapat tiga pemain asing kini sedang dalam proses mencuba nasib bersama skuad Bujang Senang iaitu Andrei Alexandru Cordos dari Romania, Vladimir Otasevic dari Serbia dan Teah Dennis, bekas pemain pertahanan kebangsaan Liberia yang berusia 24 tahun.

“Berdasarkan pemerhatian selama dalam latihan dan perlawanan persahabatan, Teah Dennis telah menunjukkan permainan yang menarik dan menampakkan persefahaman yang baik dengan pemain tempatan.

“Namun saya tidak akan membuat keputusan terburu-buru dan akan terus menguji hingga membuat keputusan terakhir sebelum tamatnya jendela perpindahan,” katanya ketika dihubungi semalam.

David berkata, sepanjang perlawanan persahabatan yang lalu, para pemainnya menunjukkan mutu permainan yang semakin mantap.

“Mereka semakin cergas setelah lama berehat, dan saya berharap mereka akan terus meningkatkan tahap kecergasan ini menjelang saingan liga dan Piala Malaysia.

David berkata, selepas perlawanan persahabatan termasuk menewaskan PKNS Selangor 1-0 pada minggu lalu, beliau dapat melihat kepincangan di bahagian tengah pasukan ini, yang perlu ditangani segera.

Di jentera serangan, saya agak gembira dengan kombinasi Mkeche Ndumba dan Gilmar Jose Da Silva, yang telah menunjukkan keserasian, terutama dalam merencanakan jaringan.

“Kehadiran semula Ronny Harun setelah pulih daripada kecederaan juga memberikan keyakinan kepada saya, terutama untuk posisi pertahanan.

“Cuma Gurusamy sahaja yang masih kurang cergas dan saya terpaksa menggunakan beberapa alternatif untuk memastikan jentera tengah kita terus berfungsi,” katanya.

Sarawak akan menghadapi saingan getir menjelang bersambungnya pusingan kedua Liga Super dan Piala Malaysia kerana terpaksa bermain tiga perlawanan berturut-turut di tempat lawan, dan akan berada di Semenanjung selama sembilan hari. – Sarawakvoice.com