Bodoh, samseng, celaka di Pulau Pinang malam tadi

0
8

GEORGETOWN:  Bodoh, samseng, celaka!

Itulah antara perkataan yang digunakan dalam debat di sini malam tadi.

Debat itu sentiasa dinanti-nantikan, membabitkan Kerajaan Negeri dengan parti Gerakan.

Kesudahannya?

Kecoh! Itulah perkataan terbaik untuk menggambarkan debat tersebut.

Sebab biasanya  yang dinilai dalam debat adalah kekuatan hujah, dalil, fakta konkrit, dan teknik retorik, selain bahasa badan.

Bagaimana masing-masing mengemukakan wacana tandingan dengan menggunakan hujah konkrit turut dinilai. Pendebat perlu bercakap tentang tajuk, dan bukannya keluar tajuk.

Kerajaan Pulau Pinang menampiklan ayam sabungnya, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Utiliti dan Pengangkutan Pulau Pinang Lim Hock Seng, manakala Gerakan menampilkan  Setiausaha Agung, Datuk Liang Teck Meng.

Debat  atas tajuk “Tiga Lebuh raya dan Terowong Dasar Laut” di Kompleks Masyarakat Penyayang di sini malam tadi pada awalnya berjalan dengan tenang, sebagaimana sepatutnya.

Debat yang membincangkan projek Pelan Induk Pengangkutan (PIP) bernilai RM27 bilion itu dikendalikan oleh moderator Lee Khai, seorang peguam.

Debat 90 minit  bermula 9 malam dan berakhir sekitar 10.30 malam dengan dihadiri lebih seribu penyokong kedua-dua pihak yang diasingkan.

Namun, keadaan bertukar kecoh apabila Lim Hock Seng  gagal mengawal kemarahannya.

Beliau  menggunakan perkataan ‘bodoh’, ‘samseng’ dan ‘celaka’ terhadap Liang Teck Meng.

Meskipun  Liang tetap tenang ketika diprovokasi dan diasak, tetapi penyokong kedua-dua pihak menimbulkan kekecohan selepas penyokong pemimpin Gerakan itu memprotes perkataan yang digunakan Lim.

Selepas sesi debat berakhir, kedua-dua pihak tidak berpuas hati, kerana masing-masing mendakwa pihak lawan tidak menjawab soalan atau mengelak daripada isu yang dibangkitkan.

Namun bagi mereka yang hadir, kedua-duanya telah lari daripada tajuk.

Puncanya, mereka lebih berminat menghalakan kritikan terhadap kegagalan pentadbiran kerajaan masing-masing.

Kata Liang kepada pemberita kemudiannya, Lim tidak menjawab soalan yang dibangkitkan mengenai projek pembinaan terowong dasar laut dan juga tiga lebuh raya utama.

Liang menyatakan kekecewaannya dengan tindakan Lim yang gagal berbahas dengan rasional dan waras.

Beliau juga berkata pelbagai soalan telah dikemukakan tidak ada satu soalan pun cuba dijawab, sebaliknya Lim mempersoalkan isu-isu yang tidak berkaitan.

Katanya, apa yang cuba dibawa oleh Lim lari daripada tajuk.

“Saya cuba mempersoalkan keperluan terowong dasar laut, mengapakah kerajaan berbelanja begitu banyak dalam kajian kebolehlaksanaan dan apakah sebab dalam kenyataan bercanggah antara kerajaan dan kontraktor projek namun tiada jawapan diterima,” katanya.

“Saya kecewa dengan kelakuan dan perbahasan Lim yang menggunakan perkataan kurang sopan seperti bodoh dan celaka,” katanya.

Orang ramai mulai datang sekitar jam 7 malam.

Ketua Menteri Lim Guan Eng dan isteri Betty Chew  turut menyaksikan debat itu, dan ketika mereka tiba sekitar 8.45 malam, beliau diboo oleh penyokong Gerakan.

Keadaan menjadi tegang beberapa ketika debat berjalan lebih-lebih lagi apabila seorang penyokong Gerakan tidak dapat  mengawal dirinya. -Sarawakvoice.com