11 pelajar Sarawak terima biasiswa Yayasan TM, atasi 200 calon berkelayakan

0
24

KUCHING: Seramai 11 pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari Sarawak yang berjaya mencatatkan keputusan terbaik menerima tajaan biasiswa daripada Telekom Malaysia Berhad (TM) menerusi yayasannya, Yayasan Telekom Malaysia (YTM) baru-baru ini.

Mereka merupakan antara 199 penerima dari seluruh negara yang telah dipilih daripada 12,000 pelajar yang memohon biasisawa YTM untuk tahun ini.

Sebelas pelajar ini yang kini sedang melanjutkan pelajaran di universiti-universiti tempatan dan luar negara telah mengatasi 200 pemohon lain dari Sarawak dan dipilih menerusi pelbagai peringkat termasuk sesi temuduga,.

Biasiswa tersebut disampaikan oleh Pengurus Besar Negeri TM Sarawak, Sarbini Hamdan, dan disaksikan oleh Pengarah YTM, Abdul Hamid Hashim, dalam satu majlis yang berlangsung di sebuah hotel terkemuka di sini.

Menurut Sarbini , biasiswa ini mengiktiraf kesungguhan para pelajar ini untuk berjaya dalam pelajaran.

“Saya gembira melihat para pelajar kelahiran negeri Sarawak terus mencatatkan kejayaan.

“Harapan kami di TM agar pemberian biasiswa ini bukan sahaja menjadi pendorong kepada mereka untuk terus berusaha dengan bersungguh-sungguh demi mencapai kecemerlangan, malah menggunakan peluang ini untuk mempertingkatkan diri masing-masing menjadi individu yang lebih baik.

Katanya, TM akan terus komited terhadap program tajaan pendidikan seperti ini untuk memastikan pelajar-pelajar yang layak terus diberi peluang untuk maju dalam pengajian mereka.

“Kami akan terus memberi peluang kepada anak-anak muda negara untuk merealisasikan potensi dan menonjolkan bakat mereka menjadi pemimpin masa hadapan.”

Bagi pengambilan bulan Jun tahun ini, TM telah menaja seramai 119 penerima biasiswa yang akan melanjutkan pengajian mereka dalam bidang kejuruteraan elektrik dan elektronik, kewangan dan program-program berkaitan lain di Universiti Multimedia (MMU), dan juga di universiti luar negara seperti di Australia, United Kingdom, Perancis, Jerman dan Korea.

yu

“Di bawah penajaan ini, TM akan menampung perbelanjaan para pelajar bermula dari peringkat pengajian asas sehingga ke peringkat Ijazah sarjana muda.

Sementara itu, Pengarah YTM, Abdul Hamid Hashim berkata, penerima biasiswa YTM bukan sahaja menerima bantuan kewangan sepanjang tempoh pengajian mereka, malah turut menghadiri program pemantapan diri bagi melengkapkan diri mereka sebagai personaliti terbaik serta memiliki kemahiran insaniah, sebagai persediaan sebelum menempuh alam pekerjaan setelah tamat tempoh pengajian.

“TM berharap untuk terus melahirkan tenaga kerja terbaik dengan memberi mereka peluang untuk menonjolkan potensi akademik mereka.

“Saban tahun, program biasiswa YTM telah menyumbangkan sesuatu yang terbaik untuk TM dan juga telah memenuhi keperluan negara dengan menyediakan bakat-bakat yang berkemahiran tinggi dalam pelbagai bidang, selain memenuhi pemintaan dalam industri telekomunikasi dan bidang-bidang lain.

Yayasan TM telah ditubuhkan pada bulan November 1994 dan kemudian diperbadankan pada tahun 2007 sebagai Lembaga Amanah Yayasan TM.

Ia ditubuhkan dengan objektif untuk menggalakkan para pelajar melanjutkan pengajian dengan memberikan biasiswa, geran, dermasiswa, elaun sara hidup dan bantuan kewangan kepada golongan pelajar tanpa mengira latar belakang keluarga.

Visinya adalah untuk memberikan golongan pelajar dari segenap lapisan masyarakat, terutamanya yang kurang berkemampuan, peluang sama rata untuk melanjutkan pengajian mereka dan kemudiannya memperoleh kerjaya impian mereka.

Sejak penubuhannya pada tahun 1994, YTM telah menaja lebih daripada 13 ribu pelajar yang berkelayakan untuk melanjutkan pengajian mereka di sekolah-sekolah kerajaan serta universiti-universiti di Malaysia dan luar negara, dengan jumlah nilai tajaan melebihi RM462 juta. – Sarawakvoice.com

yt