Wednesday, December 7, 2022

Sarawak sasar pelabur Asia Timur untuk tanam modal di negeri ini – Awang Tengah

Secara Rawak

KUCHING: Sarawak mensasarkan negara-negara Asia Timur untuk menanam modal di negeri ini dalam tempoh enam hingga 12 bulan akan datang.

Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan, Perdagangan dan Pelaburan, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, untuk tujuan tersebut, aktiviti mempromosikan Sarawak akan memberi fokus kepada pelabur-pelabur dari negara China, Korea dan Jepun, memandangkan minat untuk menanam modal dalam jumlah yang besar dalam mengembangkan perniagaan mereka.

Misalnya, sebuah syarikat China, Xian LONGI Material Corporations telah menanam modal sebanyak RM1.066 bilion di Taman Teknologi Tinggi Sama Jaya di Kuching, dengan pengambilan pertamanya pada awal tahun hadapan dijangka melibatkan keperluan 1,700 pekerja manakala fasa keduanya pada 2018, meningkat kepada 2,300 pekerja.

“Pada kali ini, tumpuan kita adalah untuk mempromosikan sektor minyak dan gas kerana menjadi hasrat kita untuk menjadikan Bintulu sebagai pusat pembangunan industri petrokimia, dengan mengambil manfaat sumber minyak yang terdapat di kawasan tersebut,” katanya ketika ditemui pada selepas Majlis Iftar dan Ngiling Tikai bersama MIETI (Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan, Perdagangan dan Pelaburan Sarawak) di salah sebuah hotel di sini, semalam.

Tengah berkata, aktiviti promosi pelaburan ini juga memberi tumpuan kepada Koridor Raya Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak (SCORE) selain menggalakkan penyertaan dalam industri elektronik, teknologi tinggi serta sektor yang berasaskan sumber yang ada pada negeri ini seperti perkayuan.

“Kementerian baharu ini juga akan berusaha gigih mempromosikan industri halal serta industri yang berteraskan kreativiti dan inovasi, sambil memberi fokus kepada pembangunan industri kecil dan sederhana (IKS) di negeri ini,” tambahnya.

Berdasarkan sasaran ini, katanya, kementeriannya telah mengadakan bengkel bagi menentukan hala tuju kementerian yang baharu itu sambil melaksanakan penyelarasan pelbagai agensi di bawahnya, agar dapat memberi perkhidmatan yang lebih efisien untuk menarik lebih banyak pelaburan dari dalam dan luar negara.

Pada tahun lalu, Sarawak berjaya menarik pelaburan berjumlah RM11.8 bilion ke negeri ini, menjadikannya negeri yang kedua terbesar di negara ini, selepas Johor, yang berjaya memperoleh modal sebanyak RM31.1 bilion. Selangor berada di kedudukan ketiga dengan pelaburan baharu berjumlah RM7.9 bilion dan Melaka RM6.8 bilion.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM10.4 bilion pelaburan Sarawak datangnya dari sektor petroleum dan produk berkaitan, produk berasaskan logam RM653.9 bilion dan produk elektrik dan elektronik RM590 juta. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru