Wednesday, June 29, 2022

Perlukah anak Sarawak bangkit memberontak seperti Sabah?

Secara Rawak

Terlebih dahulu saya mengucapkan setinggi tahniah kepada Datuk Seri Fadillah Yusof, Datuk Seri Rohani Karim, Nancy Shukri dan Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar kerana dikekalkan dalam Kabinet Kerajaan Persekutuan.

Pandi Suhaili
Pandi Suhaili

Keputusan untuk mengekalkan pemimpin-pemimpin Sarawak ini menunjukkan bahawa mereka telah berjaya menjalankan tanggungjawab yang telah diamanahkan kepada mereka.

Tahniah sekali lagi.

Merujuk kepada keputusan untuk tidak mengambil pemimpin Sarawak untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Datuk Amar Douglas Uggah, saya berpandangan ianya bukanlah satu keputusan yang BIJAK memandangkan ia dibuat dalam konteks politik nasional yang masih tidak menentu.

Siapa yang menjangka ahli-ahli UMNO di Sabah memberontak (apabila pemimpin mereka digantung keahliannya) walaupun setelah UMNO berjaya memenangi pilihan raya kecil di Malaya?

Rata-rata pemimpin peringkat nasional berasa yakin bahawa politik nasional berada dalam fasa penstabilan setelah UMNO berjaya menewaskan PAS dan AMANAH.

Bahkan kejayaan tersebut dikatakan amat manis sekali apabila UMNO berjaya menewaskan Tun Mahathir Mohamad yang merupakan bekas pemimpin nombor satu parti tersebut.

Rakyat (dan ahli-ahli UMNO) dikatakan telah menolak Tun Mahathir Mohamad dengan kejayaan UMNO dalam pilihan raya tersebut.

Saya bersetuju dengan ulasan Datuk Alexander Nanta Linggi bahawa kaum Dayak mungkin berasa tidak senang dengan kegagalan untuk menamakan pemimpin mereka untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Datuk Amar Douglas Uggah.

Oleh itu, saya menyeru kepimpinan Barisan Nasional di peringkat pusat agar berusaha melakukan sesuatu sebelum sesuatu yang tidak dijangkakan akan berlaku.

Selama ini anak-anak Sarawak bersangka baik apabila berurusan dengan kepimpinan Barisan Nasional pusat.

Diharapkan anak-anak Sarawak akan terus mengambil pendekatan sebegini.

Walau bagaimanapun, ia banyak bergantung kepada sikap kepimpinan Barisan Nasional di peringkat pusat terhadap rakyat Sarawak.

Akhir kata, saya mengucapkan tahniah kepada Datuk Henry Sum Agong atas pelantikannya sebagai Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan setelah empat penggal berkhidmat sebagai Ahli Parlimen.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru