Friday, July 1, 2022

Kejutan Najib dalam rombakan Kabinet kali ini

Secara Rawak

KUCHING:  Dalam rombakan Kabinet ketiga petang Isnin, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah membuat beberapa kejutan.

Pertama, melantik kembali Tan Sri Noh Omar ke dalam Kabinet.

Noh ialah Pengerusi Barisan Nasional Negeri Selangor dan juga Ahli Parlimen Tanjung Karang.

Pelantikan beliau dilihat  sebagai pengiktirafan kepada Noh atas kemenangan membanggakan BN pada pilihan raya kecil Parlimen Sungai Besar pada 18 Jun.

Tetapi yang jauh lebih penting daripada itu ialah, ia merupakan satu strategi Najib untuk memastikan Selangor dapat dirampas kembali daripada pembangkang pada PRU-14 nanti.

Dengan Noh menjadi menteri, maka ini akan memudahkan beliau untuk bergerak, selain suaranya  akan lebih dihormati oleh pemimpin di peringkat negeri dan akar umbi.

Kejutan kedua Najib ialah  mengurangkan kuota  menteri penuh daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) atau Sarawak.

Rakyat Sarawak sebenarnya mengharapkan kuota berkenaan tidak dikurangkan, tetapi dengan tiada pelantikan menteri penuh dalam rombakan kali ini, bermakna, PBB kekurangan satu kerusi menteri dalam Kabinet Persekutuan.

Bagaimana ini boleh berlaku? Adakah ini boleh diterima oleh pemimpin PBB? Bagaimana reaksi Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem?

Namun, hak melantik dan menggugurkan menteri ialah prerogatif Perdana Menteri, dan ia tidak boleh dipertikaikan.

Bagi Najib, mungkin beliau punya percaturan tersendiri mengapa menteri tertentu dipindahkan daripada jawatan lama ke jawatan baharu, lebih-lebih lagi sebagai menteri di Jabatan Perdana Menteri?

Yang pasti rombakan kali ini bukan sekadar rombakan dan pengubahsuaian untuk mengisi tempat kosong.

Rombakan kali ini dilakukan selepas pilihan raya kecil Parlimen di dua kawasan dan juga pilihan raya negeri Sarawak.

Dengan PRU  dijangka selewat-lewatnya April 2018 dan seawal-awalnya suku ketiga tahun depan, sudah pasti Najib perlu mengambil kira faktor berkenaan ketika merombak dan menyusun semula anggota  Kabinet beliau.

Kabinet ini ialah kabinet strategik untuk memastikan BN terus dapat  berkuasa.

Sebelum dapat berkuasa, ia perlu memperlihatkan pencapaian yang cemerlang, dan dapat memenuhi aspirasi rakyat dan pengundi.

Baginya, yang pentuing bukan sahaja dapat mempertahankan kedudukan BN di Putrajaya, tetapi akan menjadi kemenangan yang membanggakan jika dapat mengukuhkan prestasi, dengan menambah jumlah kerusi.

Mengambil balik Selangor daripada pembangkang tentu satu daripada agenda beliau.

Kabinet pertama Najib  sebenarnya dibentuk pada 15 Mei 2013, tidak lama selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13.

Sesudah itu, beliau melakukan rombakan pada 25 Jun 2014 dan 28 Julai 2015.

Rombakan pada 28 Julai menyaksikan  pemecatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Perdana Menteri, dan jawatan itu diisi oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Yang turut digugurkan ialah Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Shafie Afdal.

Antara 28 Julai 2015 hingga 2 September 2015, Kabinet Najib terdiri daripada 37 menteri dan 32 timbalan menteri.

Rombakan petang Isnin, pasti yang terakhir sebelum berdepan dengan PRU akan datang, kecualilah ada sesuatu yang di luar jangka berlaku, seperti kematian.

Selamat bertugas menteri dan timbalan menteri yang baru dilantik. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru