Sunday, August 14, 2022

Dayak dan PBB kecewa, tetapi kita akur ia kuasa prerogatif PM — Nanta Linggi

Secara Rawak

KUCHING: “Saya jangkakan rakyat Sarawak terutamanya masyarakat Dayak akan berasa kecewa dengan rombakan ini,” ulas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Alexander Nanta Linggi susulan pengumuman penstrukturan kabinet Pusat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak semalam.

Alexander Nanta Linggi
Alexander Nanta Linggi

Sebelum ini, Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera (PBB) itu dijangka akan “naik pangkat” susulan peletakan jawatan Naib Presiden Kanan PBB, Datuk Amar Douglas Uggah Embas sebagai Timbalan Ketua Menteri Sarawak, sekali gus memegang jawatan Menteri Permodenan Pertanian dan Ekonomi Luar Bandar.

“Selama ini masyarakat Dayak telah memberi sokongan tidak berbelah-bahagi kepada Barisan Nasional, termasuk dalam Pilihan Raya Negeri baru-baru ini.

“Oleh itu, tentulah mereka mahu suara mereka lebih didengari termasuk melihat orang mereka menjawat menteri penuh di peringkat pusat.

“Dan dalam konteks PBB, sayap Pesaka mahukan wakil mereka menggantikan Datuk Amar Douglas,” katanya seperti yang dipetik The Malay Mail.

“Dan sudah tentunya masyarakat Dayak akan kecewa, dan PBB juga terkilan,” tambahnya.

Apa pun katanya, Nanta secara peribadi menghormati keputusan Najib dan mengakui ia kuasa prerogratif Perdana Menteri itu sendiri untuk menentukan mereka yang berada dalam pasukannya.

Nanta berkata, ketika ini beliau masih mampu memberi sumbangan terbaik sebagai Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

Dalam rombakan kabinet semalam, Sarawak kehilangan dua portfolio menteri penuh, dengan Uggah berpindah ke kabinet negeri manakala Datuk Seri Idris Jala tamat tempoh sebagai Ahli Dewan Negara.

Hanya Ahli Majlis Tertinggi PBB, sayap Pesaka, Datuk Henry Sum Agong tersenarai dan beliau diamanahkan sebagai Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, menggantikan Datuk Seri Ahmad Bashah, yang kini Menteri Besar Kedah.

Dalam Kabinet Najib sekarang, Sarawak memiliki enam menteri penuh dan empat timbalan menteri, dengan empat menteri tersebut daripada PBB. – Sarawakvoice.com

13521961_1270778656267493_1642231863097645761_n

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru