KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Moktar Radin terkilan dengan tindakan yang diambil ketua-ketua cawangan bagi Bahagian Semporna, Sabah yang disifatkannya sebagai mengambil tindakan mengikut emosi.

Bung Moktar Radin
Bung Moktar Radin

“Kita tidak mahu mereka terlalu beremosi kerana akibatnya adalah parti akan lemah dan runtuh serta rugi bukan siapa-siapa tetapi ahli-ahli parti dan orang Melayu,” katanya sebagaimana dilapor BNBBC.my portal pada Selasa.

Bung yang juga ahli MT Umno berpesan kepada ahli-ahli Umno supaya lebih bertenang selain harus akur dengan keputusan kepemimpinan parti kerana apa yang dilakukan adalah demi kebaikan dan kepentingan parti secara keseluruhannya.

Ketua cawangan bahagian Semporna mengumumkan keluar dari  Umno berikutan penggantungan Ahli Parlimennya, Datuk Seri Shafie Apdal oleh Majlis Tertinggai (MT) Umno Jumaat lepas.

“Kita perlu perkukuhkan barisan kita. Pemimpin datang dan pergi namun perjuangan parti kena diteruskan. Saya percaya Shafie Apdal mampu melakukan yang terbaik. Sudah menjadi lumrah politik, hari ini berkawan esok menjadi lawan,” kata Bung.

Beliau berharap perkara itu tidak ‘berjangkit’ kepada UMNO di Bahagian Pagoh dan di Kedah.

“Saya terkilan sedikit di mana perkara sebegini berlaku di Semporna iaitu di Sabah kerana seramai 200 cawangan UMNO keluar dari parti bersama dengan Naib Ketua Bahagian, Ketua Wanita, Ketua Pemuda dan Ketua Puteri sekali, ini dilihat sebagai tanda protes terhadap kepimpinan parti,” katanya.

Semalam, Naib Ketua UMNO Bahagian Semporna, Datuk Dr Jaujan Sambakong mengumumkan keluar parti Umno.

Turut mengambil tindakan sama ialah tiga ketua sayap iaitu Ketua Pemuda Mohd Aziz Jamman, Ketua Wanita Manis Muka Dara dan Ketua Puteri Zakiah Kalipunya dan 200 ketua cawangan bahagian itu.

Keputusan itu dibuat mereka selepas mesyuarat Ahli Jawatankuasa (AJK) bahagian itu yang dipengerusikan Jaujan yang juga Adun Sulabayan. – Sarawakvoice.com