Friday, July 1, 2022

Awang Tengah kecewa PBB kehilangan portfolio Menteri Penuh

Secara Rawak

KUCHING: “Saya tidak nafikan, kita kecewa kehilangan jawatan menteri penuh,” kata Naib Presiden Kanan, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan susulan rombakan kabinet pusat yang diumumkan petang tadi.

Menurutnya, dengan pengunduran Datuk Amar Douglas Uggah sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi untuk berkhidmat di Sarawak, pihaknya menjangkakan seorang daripada ahli parlimen negeri itu dinaikkan untuk menggantikannya.

“Tetapi itu semua pregrogratif YAB Perdana Menteri, dan beliau mempunyai alasan tersendiri kenapa membuat pilihan tersebut,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Berbuka Puasa dan Ngiling Tikai Kementerian Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan, Perdagangan dan Pelaburan (MIETI) di sini malam tadi.

Menafikan keadaan ini akan memberi impak kepada sokongan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Parlimen akan datang, Tengah berkata, Datuk Seri Mohd Najib Razak memiliki alasan tersendiri berhubung pelantikan tersebut.

Pada masa yang sama, Tengah turut melahirkan rasa gembira dengan pelantikan Datuk Henry Sum Agong sebagai Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.

Ahli Parlimen Lawas itu katanya, merupakan wakil rakyat daripada masyarakat Lun Bawang yang pertama di negara ini yang dilantik sebagai anggota Kabinet Pusat.

“Ia membuktikan pentadbiran YAB Perdana Menteri bersikap inklusif hingga komuniti yang sekecil Lun Bawang pun diwakili,” katanya. – Sarawakvoice.com

awang tengah ramadan pbb-0000 awang tengah ramadan pbb-0001

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru