Tuesday, June 28, 2022

Wanita terjerat dengan miskin bandar mohon bantuan rumah dibaiki – Pesuruhjaya PAS Sarawak

Secara Rawak

MIRI:  Isu kemiskinan dan mereka yang kurang berkemampuan tinggal di rumah yang tidak selesa dan selamat masih lagi menjadi isu besar yang berlegar di bandar raya Miri.

Pesuruhjaya PAS Sarawak, Jofri Jeraie berkata, isu ini masih gagal diselesaikan oleh pentadbiran sedia ada walaupun telah menang besar pada pilihan raya yang lalu.

“Berdasarkan pertemuan kami dengan penduduk di sini, ternyata masih terlalu banyak isu yang tertangguh dan rakyat daif yang tidak terbantu.

“Lebih menyedihkan,  ada kalangan wakil rakyat yang hanya berkunjung dan mengambil gambar, tetapi bantuan yang dinanti tidak kunjung tiba.

Keadaan ini, kata Jofri menghiris hati rakyat kerana mereka dibekalkan dengan pengharapan yang tinggi.

Salah seorang penduduk kampung di Pujut Padang Kerbau katanya, mengadu mereka sudah lama menanti janji pihak berkenaan untuk membaik pulih rumah pusaka yang sudah lebih 40 tahun.

“Wanita tersebut kemudian mengadu masalah mereka kepada pihak kami (Pas) agar masalah mereka dapat diberi perhatian oleh pihak berkuasa.

“Mereka mengadu akan masalah rumah mereka yang sudah agak usang dan perlu dibaik pulih terutama di bahagian dapur.

Keadaan dapur pula rosak teruk dengan lantai serta dinding dan atap sudah bocor.

Wanita ini kata Jofri, tinggal bersama-sama suami, enam anak serta menantu dan dua orang cucu.

“Dua daripada anaknya masih belum bersekolah sebab suaminya tiada pendapatan tetap.

“Disebabkan mereka tidak mempunyai pendapatan tetap mereka amat mengharapkan masalah rumah mereka ini dapat dibantu,” katanya.

Kata Jofri, pihaknya berharap pihak berkuasa dapat memberi bantuan membaik pulih rumah mereka itu dengan kadar segera.

“Hari Raya Aidilfitri sudah hampir dan keadaan rumah itu tidak begitu selamat sekiranya terlalu ramai pengunjung datang pada musim perayaan ini.

Jofri berkata, pihaknya merayu ihsan Jabatan Kebajikan Masyarakat serta Baitulmal agar membantu meringankan beban yang ditanggung oleh keluarga tersebut,  terutama pada saat sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.

“Kerjasama dengan pihak yang berkenaan untuk mengatasi masalah rakyat ini dengan segera amat dihargai,” katanya lagi. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru