Sunday, August 14, 2022

Tuduhan kafir harbi, pandangan ketinggalan zaman

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Senator  Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr Muhammad Nur Manuty berkata, kenyataan Mufti Pahang, Datuk Seri Abd Rahman Osman  berkaitan kafir harbi adalah ketinggalan zamaqn, justeru perlu ditentang.

1724704_1225801424102908_4284889297270900115_n (1)
Dr Muhammad Nur Manuty & Syeikh Yusuf al-Qaradawi

Mufti Pahang itu berkata, tentangan DAP terhadap pelaksanaan hukum hudud dan Rang Undang-undang Persendirian Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah (Pindaan) 2016 jelas membenci Islam, tergolong sebagai ‘kafir harbi” dan berdosa besar bagi umat Islam bekerjasama dengan mereka.

Menurut senator itu, kenyataan berkenaan telah dikeluarkan secara ‘simplistic’, tanpa hujah yang jelas dan tiada fakta yang kukuh untuk membuktikan ketepatan tuduhan dan hukuman yang dikemukakan.  

“Justeru, kenyataan tersebut wajib disanggah, kerana ia amat mengelirukan masyarakat – Islam dan bukan Islam – di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan.  

Sesungguhnya, bagi beliau, kenyataan tersebut boleh mengundang pelbagai implikasi negatif kepada keselamatan negara, menggugat perpaduan umat Islam, memecahbelah keharmonian hubungan kaum, mengundang tingkah laku keganasan dan mencemar imej agama Islam sebagai agama pembawa risalah ‘alamiyyah’(universal) dan rahmat untuk seluruh insan.  

Katanya: “Amatlah jelas,  kenyataan tersebut telah  menampakkan bahawa ia ketinggalan dalam menekuni pelbagai sudut pandang para sarjana dan ilmuan Islam yang bersifat semasa dan kontemporari dan berautoriti seperti Syeikh Yusuf al-Qaradawi, Syeikh al-Raisuni, Syeikh Wahbah Zuhaili,  Syeikh Taha Jabir, al-Ghanoushi, Dr Abdul Hamid Sulaiman, Dr Hassan Turabi, Salim al-Awa, Jaafar Sheikh Idris dan ramai lagi.”

Justeru,  sebagai ketua Biro Pemahaman & Pemantapan Agama (BiPPA)  beliau mencadangkan agar para mufti dan pihak lain yang bertanggungjawab atas urusan Islam di negara ini mengambil langkah proaktif mengadakan perbincangan dan dialog ilmiah dengan para ilmuan yang disenaraikan di atas.  

“Adalah amat malang kepada umat Islam sendiri, apabila kelompok yang diamanahkan kuasa untuk melaksanakan urusan Islam, dilihat kehilangan integriti dan tidak mampu membuat pendirian yang adil kepada semua pihak dan rakyat, tanpa mengira anutan agama dan kecenderungan politik mereka.  Lebih parah, jika dilihat gagal membebaskan diri dari pengaruh aliran politik sempit perkauman sebagaimana yang dituntut di dalam ayat 13, surah al-Hujura,” katanya. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru