Sunday, July 3, 2022

Suami isteri dari Kuching dikenakan waran tangkap gagal hadiri pertuduhan pemerdagangan orang

Secara Rawak

KUCHING: Mahkamah Sesyen di sini semalam mengeluarkan waran tangkap terhadap sepasang suami isteri kerana terlibat dalam tuduhan pemerdagangan orang dan melindungi pendatang tanpa izin.

Waran tersebut dikeluarkan kepada pasangan dari Jalan Pisang Barat ini setelah mereka gagal tampil ke mahkamah pada tarikh dan masa yang ditetapkan.

Fernandez Ong Kim Lim, 36, dan Ling Mih Mih, 37, dituduh di tiga mahkamah berbeza atas kesalahan yang dilakukan pada jam 11 pagi, 24 Februari lalu.

Mereka didakwa mengeksploitasi wanita berumur 22 hingga 37 tahun, dengan membuat kerja-kerja paksa tanpa upah dan melindungi salah seorang daripada mereka yang dipercayai tidak mempunyai pas perjalanan yang sah.

Atas kesalahan ini, kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 yang dibaca bersama-sama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga 15 tahun dan boleh dikenakan hukuman denda.

Atas kesalahan melindungi pendatang tanpa izin, tertuduh berhadapan hukuman penjara lima bulan hingga enam tahun dan denda maksimum RM10,000 hingga RM50,000 bagi setiap pekerja, selain dirotan hingga enam sebatan. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru