Wednesday, June 29, 2022

Sindiket Love Scam Awang Hitam perdaya wanita di internet

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Jabatan Siasatan Jenayah Ko­mersial (JSJK) Bukit Aman menahan enam individu warga Nigeria yang merancang sindiket memperdaya 10 wanita tempatan.

Lima Awang Hitam termasuk seorang wanita dari Afrika berkenaan ditahan dalam serbuan di sebuah rumah teres dua tingkat di Bandar Sri Damansara, Petaling Jaya pada Ahad.

Timbalan Pengarah Risikan Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Roslan Abd Wahid berkata, kesemua suspek yang diberkas berusia di antara 24 hingga 38 tahun.

Sindiket yang menggerakkan Love Scam atau Romance Scam ini menyasarkan golongan wanita Malaysia sebagai mangsa.

Apabila wanita yang menjadi mangsa pujukan terperdaya, mereka dengan mudah menyerahkan wang dalam jumlah yang besar kepada perayu Awang Hitam ini.

Modus operandi terbaru ini membabitkan kerugian lebih RM1 juta.

Pihak berkuasa mengenal pasti suspek berusia 31 tahun aktif mencari mangsa menerusi internet.

Ada kalanya mereka menyamar sebagai ejen atau pegawai bank.

“Mereka menggunakan internet terutama laman sosial seperti Facebook, Tagged, Twitter dan lain-lain untuk mencari serta menipu mangsa,” kata Roslan.

Sementara, ahli sindiket yang lain menyamar menjadi ejen kurier yang menelefon dan memperdaya mangsa sasaran agar memasukkan wang dalam akaun bank.

Siasatan turut mendapati bahawa kumpulan sindiket ini telah memperdaya ramai lagi wanita lain sepanjang dua tahun mereka menggerakkan sindiket di negara ini.

Roslan menambah, “Kita mendapat bantuan pasukan forensik siber untuk menyiasat akaun Facebook dan laman web digunakan oleh sindiket bagi mengesan mangsa lain yang turut diperdaya.”

Pihak berkuasa mengesahkan mangsa yang telah membuat laporan polis akibat ditipu sindiket ini adalah dari beberapa negeri dalam negara termasuk Sabah.

Dalam serbuan tersebut, pihak polis merampas 12 te­lefon bimbit, 15 kad bank, lima komputer riba, sebuah kereta Toyota Camry dan satu pemacu pena berisi gambar mangsa.

Kesemua suspek ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru