Sunday, August 14, 2022

Pelanggaran hak Sarawak, Sabah dalam Malaysia bakal diteliti dan diperbetul

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Bagi memastikan aspirasi rakyat Sarawak dan janji berkaitan autonomi negeri Sarawak dapat dipenuhi, kerajaan Persekutuan kini dalam proses membentuk jawatankuasa teknikal.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri yang juga Ahli Parlimen Batang Sadong berkata, semua ini membuktikan kesungguhan Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem dalam mengotakan janjinya.

“Sekarang ialah masa untuk kita tunaikan aspirasi rakyat Sarawak. Ia bukan lagi cakap-cakap sahaja, tetapi pelaksanaan oleh Ketua Menteri kita,” katanya dalam satu kenyataan.

Sambil memuji tindakan Adenan yang memperjuangkan kepentingan Sarawak, beliau mengakui Perdana Menteri dan Kerajaan Persekutuan turut memberikan perhatian yang sama dan sangat responsif terhadap permintaan yang dibuat Sabah dan Sarawak.

Kata Nancy, mesyuarat peringkat tertinggi pada 13 Jun yang dipengerusikan bersama oleh beliau  dan Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman, memutuskan penubuhan jawatankuasa itu.

Mesyuarat itu turut dihadiri Peguam Negara Tan Sri Apandi Ali, dan wakil  Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak.

Katanya, jawatankuasa itu akan dianggotai wakil  Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak, dan pakar sejarah dari kedua-dua negeri terbabit.

Antara pelanggaran yang bakal dikenal pasti adalah berkaitan perkara yang terkandung dalam Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan, Perjanjian Malaysia 1963, Akta Malaysia, Perlembagaan Persekutuan, Laporan Suruhanjaya Cobbold, dan dokumen lain berkaitan.

Jawatankuasa teknikal yang ditubuhkan oleh Kerajaan Persekutuan itu bertujuan  mengenal pasti pelanggaran berkaitan hak dan kedudukan Sabah dan Sarawak dalam persekutuan, dengan laporan awalnya dijangka dikemukakan kepada Kabinet pada hujung tahun ini.

“Laporan pertama tentang cadangan dan penyelesaian diharap dapat disampaikan kepada Kabinet Persekutuan pada hujung tahun ini,” katanya. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru