Tuesday, June 28, 2022

Tindakan terhadap Muhyiddin, Mukhriz sepatutnya sudah  diambil tahun lalu

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan Umno, berkata walaupun Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri  Mukhriz Mahathir berulang kali melanggar disiplin parti, presiden Umno tetap tidak mengambil tindakan disiplin terhadap mereka yang yang derhaka terhadap Umno sehingga keputusan berkenaan  hampir setahun ditangguhkan.

Menurut Tan Sri Annuar Musa, tiada siapa yang seharusnya lebih besar daripada parti.

“Tun Mahathir pun tidak. Bagi setiap tindakan itu pasti ada harga yang wajib dibayar dan perbuatan menderhaka kepada perjuangan parti dan suara majoriti,” katanya dalam satu kenyataan.

“Apa lagi percubaan mengguling ketua parti dan kerajaan yang telah dipilih melalui proses demokrasi dan pilihan raya wajib dibayar dengan harga yang mahal,” tambahnya

Jika mengikut kepada cadangan beberapa ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, mereka sepatutnya sudah dipecat tahun lalu, katanya.

Menurut Ketua Penerangan Umno itu, pada 9 November tahun lalu, dalam satu mesyuarat di PWTC yang dihadiri sendiri oleh Muhyiddin dan Datuk Seri Shafie Apdal, beliau telah menyebut secara terbuka kepada mereka, jika diikutkan cadangan beberapa ahli MT beliau sepatutnya sudah dipecat beberapa bulan sebelumnya.

Namun, kata Annuar, tindakan itu tidak terjadi kerana ramai kawan dalam MT termasuk beliau  masih bersimpati dan mempertahankan pemimpin berkenaan daripada dipecat walaupun kesalahan  amat jelas dan tiada sebarang keraguan mengenainya. Najib sendiri memilih untuk tidak melakukannya,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Najib  sewaktu menggulung perbahasan Perhimpunan Agung Umno memilih untuk berjiwa besar dengan menghulurkan tangan dan menyeru ke arah penyatuan dalam parti tetapi mereka tetap melanggar disiplin.

Katanya: “Berikutan itu berkali-kali juga syor mereka dipecat telah dibawa kepada MT, namun Najib tetap enggan mengambil sebarang tindakan.”

Namun, katanya, mengambil masa hampir setahun untuk bertindak memecat mereka yang jelas menderhaka kepada Umno. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru