Thursday, August 18, 2022

Taska diarah maklumkan ibu bapa patuhi jadual imunisasi vaksin anak-anak

Secara Rawak

KUCHING:  Berkuat kuasa serta-merta, semua taska yang dipantau oleh Kementerian Pembanguna Wanita Keluarga dan Masyarakat  (KPWKM) diarahkan untuk memberi notis kepada ibu bapa, agar mematuhi penjadualan suntikan imunisasi  anak-anak mereka.

Menterinya, Datuk Seri Rohani Karim berkata, tindakan itu diambil susulan

dua kes kematian kanak-kanak yang disyaki terkena jangkitan bakteria difteria di Melaka dan Kedah baru-baru ini.

“Sebagai kementerian yang bertanggungjawab menjaga kebajikan kanak-kanak, dengan aspek kesihatan merupakan elemen terpenting dalam menjamin perkembangan kanak-kanak tersebut, kita akan pastikan setiap kanak-kanak ini mendapat suntikan imunisasi yang sepatutnya.

Menurut Rohani, kementeriannya tidak akan berkompromi terhadap isu yang berkaitan dengan nyawa bayi dan kanak-kanak.

“Kami telah maklumkan supaya ibu bapa yang mempunyai  bayi yang telah mempunyai jadual imuniasasi, sila lakukan dan patuhi jadual tersebut.

“Lewat tidak apa …tetapi sila patuhi. Memang ada yang terlambat beberapa bulan, tetapi yang penting sekurang-kurangnya anak tersebut disuntik dengan imunisasi yang akan membentuk antibodi untuk kanak-kanak ini,” katanya yang ditemui selepas mengadiri Majlis Sinar Ramadan , iaitu majlis berbuka puasa klien kementerian tersebut dengan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem di Dewan Majma’ Tunku Abdul Halim dekat sini, malam tadi.

Dalam majlis tersebut, Adenan menyampaikan sumbangan dan bantuan Aidilfitri kepada 176 klien jabatan, yang merupakan golongan kelainan upaya, warga emas dan anak yatim.

Menjelas lanjut, Rohani berkata, arahan juga telah dikeluarkan supaya para pengasuh memaklumkan pada kadar segera kepada ibu bapa atau penjaga sekiranya kanak-kanak didapati kurang sihat .

“Malah pengasuh juga boleh untuk tidak menerima kanak-kanak yang sakit terutamanya bagi penyakit yang mudah berjangkit.

“Mereka hanya boleh menerima semula kanak-kanak apabila mereka telah benar-benar sihat.

Ekoran itu katanya, beliau menggesa kepada semua ibu bapa agar memantau anak-anak masing-masing bagi memastikan keadaan kesihatan mereka adalah pada tahap yang terbaik.

“Ibu bapa juga disarankan untuk memastikan anak-anak ini mengambil vaksin seperti yang dijadualkan oleh Kementerian Kesihatan bermula sejak lahir lagi.

“Jika ada ibu bapa yang terpengaruh dengan makumat bahawa vaksin-vaksin ini mempunyai kandungan yang haram (dipercayai daripada enzim babi), sila dapatkan pandangan daripada pakar.

“Biarlah pandangan daripada pakar agama diperolehi terlebih dahulu sebelum kita membuat keputusan yang boleh membahayakan nyawa anak-anak,” katanya lagi. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru