Tuesday, June 28, 2022

Polis tumpaskan tiga perompak bersenjata  di Miri

Secara Rawak

MIRI:  Pelanduk boleh melupakan jerat, tetapi jerat tidak pernah lupakan pelanduk.

Itulah yang berlaku semalam apabila dengan kecekapan dan kepintaran polis Miri, penjenayah yang aktif dalam kegiatan rompak bersenjata dalam tempoh dua bulan lalu, akhirnya ditangkap polis hanya beberapa jam selepas melakukan rompakan.

Keghairahan untuk terus melakukan jenayah kerana menyangka itu jalan mudah untuk hidup senang, memberi pengajaran berguna kepada dua lelaki yang tidak pernah serik meskipun pernah dipenjarakan kerana kes curi dan pecah rumah sebelum ini.

Mereka yang berusia 20 dan 30 tahun itu ditangkap di belakang bangunan Jalan Sri Dagang sekitar pukul 1.45 pagi, dan penangkapan itu membuka ruang kepada polis untuk menangkap tersangka ketiga berusia 40 tahun di Krukop sekitar 15 minit kemudian.

“Polis percaya dengan tertangkapnya kumpulan ini yang aktif sejak dua bulan lalu, kita dapat selesaikan kes pecah rumah dan mencuri di Miri,” kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sarawak, SAC Dev Kumar di sini, semalam.

Polis telah menangkap dua tersangka berkenaan yang aktif dalam kegiatan jenayah menggunakan senjata.

Polis Miri menahan dua lelaki yang menaiki sebuah kereta, dan pemeriksaan polis mendapati telefon bimbit, Ipad yang dipercayai hasil rompakan, selain senjata tajam dan jaket.

Beliau berkata, dua lelaki terbabit yang bersenjatakan samurai dan parang telah memasuki sebuah spa di Pusat Komersial Miri pada pukul 12.30 pagi semalam, dan mengugut pekerja di situ, serta mengarahkannya menyerahkan wang tunai, iPad, barangan kemas dan telefon bimbit. Kemudian mereka melarikan diri bersama-sama hasil rompakan berkenaan.

Mereka telah  juga merompak kedai serba neka 24 jam di Jalan Bouleverd dan merompak sebuah telefon bimbit daripada seorang pekerja sehari sebelumnya pada pukul 3.30 pagi.

Dev berkata, sepasukan polis dianggotai ASP Nagulan Maniam terbabit dalam penangkapan tersangka dan  mengucapkan tahniah kepada beliau dan pasukannya kerana berjaya menyelesaikan kes terbabit. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru