Saturday, October 8, 2022

Polis akan bertindak terhadap penyebar berita palsu tentang rompakan di Kuching – Fadillah

Secara Rawak

KUCHING:  Polis Sarawak akan bertindak tegas terhadap mana-mana pihak yang mengganggu ketenteraman awam, dengan menyebarkan berita palsu mengenai kes pecah rumah dan rompakan yang dikatakan meningkat di bandar raya ini.

Ahli Parlimen Petra Jaya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, tindakan itu adalah wajar memandangkan  berita-berita yang tidak sahih ini telah menimbulkan kegelisahan orang ramai.

“Kita tidak nafikan ada antara kes pecah rumah dan rompakan ini  betul, tetapi ada juga yang disebarkan di dalam media sosial yang berbentuk sensasi, tidak betul dan diada-adakan. ,” katanya lagi dalam sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan pihak Polis Diraja Malaysia, Jabatan Sukarelawan Rakyat dan Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional di sebuah hotel di sini semalam.

Jelas Menteri Kerja Raya itu lagi, beliau memohon kepada orang awam agar memberikan keyakinan kepada pihak polis bagi menyelesaikan kes-kes yang dikatakan berleluasa di sekitar kawasan Petra Jaya akhir-akhir ini.

“Pihak polis telah meningkatkan usaha mereka untuk menghadapi situasi ini dan antara tindakan pembanterasan yang dilakukan termasuklah meningkatkan kawalan dan sekatan jalan raya di tempat-tempat strategik di bandar raya ini.

“Mereka juga menggandakan rondaan serta mengusahakan tindakan tertentu untuk memastikan pihak yang terlibat dalam rompakan dan kes pecah rumah ini akan dapat segera dikenal pasti dan ditangkap.

“Kita harus faham, dengan keanggotaan yang terhad untuk menjalankan rondaan, pihak polis tidak dapat mengagihkan pasukan mereka  secara lebih efektif dan efisien,” tambahnya lagi.

Kerana itulah katanya, perbincangan semalam turut melibatkan Rela, Jabatan Perpaduan (dan Integrasi Nasional) dan juga ketua-ketua masyarakat agar gerakan bersepadu dapat diusahakan untuk menyokong polis dari aspek rondaan.

“Kita berharap dengan kerjasama semua pihak ini,  kes-kes jenayah terutamanya pecah rumah, dapat dikurangkan selain menjadikan bandar raya Kuching sebagai bandar yang selamat.

Kes-kes jenayah ini tambahnya, berlaku mengikut musim tertentu, terutamanya menjelang musim perayaan kerana ada antara penjenayah yang ingin mengaut keuntungan segera dengan cara yang haram. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru