Tuesday, June 28, 2022

Najib dijangka rombak Kabinet esok, babitkan tujuh Menteri, timbalan menteri, masih adakah harapan untuk Mawan?

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Banyak pihak menjangka Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan merombak Kabinet minggu depan, kemungkinan besar Isnin di sebalik penafian beliau ketika menjawab soalan media Jumaat selepas menyingkirkan dua pemimpin Umno.

Sin Chiew Daily dan Borneo Post semalam  berkata rombakan itu untuk mengisi beberapa kekosongan jawatan dengan akhbar Sarawak itu berkata dua pemimpin Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Alexander Nanta Linggi dan Datuk Henry Sum Agong dijangka mengangkat sumpah jawatan mereka.

Kedua-dua nama ini dianggap sesuai dari segi kekananan dan kelayakan.

Dengan sendirinya, nama Ahli Parlimen Saratok dan Ahli Dewan Undangan Negeri Pekan, Tan Sri William Mawan tidak tersenarai.

Namun satu sumber berkata, segalanya adalah serba mungkin bagi mantan presiden Teras yang telah memohon untuk menyertai PBB itu.

Spekulasi tentang rombakan itu telah berlaku beberapa bulan dan semakin kuat selepas kemenangan Barisan Nasional pada pilihan raya kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar 18 Jun lalu.

Hari ini, kolumnis dan penulis politik Sunday Star, Joceline Tan berkata, bahawa rombakan itu agak besar, membabitkan sekurang-kurangnya tujuh pelantikan. Kekosongan itu ekoran pelbagai perkembangan membabitkan pemimpin politik terbabit, termasuk tragedi helikopter di Sebuyau pada 5 Mei, dua hari sebelum pilihan raya negeri Sarawak.

Difahamkan Ahli Parlimen terbabit telah dimaklumkan supaya bersiap sedia untuk mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertuan Agong.

Memetik sumber Putrajaya, penulis yang mempunyai rangkaian sumber yang mantap itu berkata, rombakan mungkin membabitkan empat menteri penuh dan tiga orang timbalan menteri.

Ini  termasuk dua jawatan menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Bagaimanapun, semalam Sin Chew Daily berkata, tiga jawatan menteri dan dua timbalan akan diisi.

Seorang bertanggungjawab bagi Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) yang dikosongkan oleh Datuk Seri Idris Jala, Senator dari Sarawak, dan satu lagi bertanggungjawab bagi  Unit Perancang Ekonomi yang dikosongkan oleh Senator Tan Sri Abdul Wahid Omar.

Idris  Jala tamat tempoh sebagai Senator, manakala Wahid tidak mahu melanjutkan khidmatnya dalam kabinet selepas hanya sepenggal sebagai Senator.

Satu jawatan menteri lagi ialah susulan kekosongan ditinggalkan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Amar Douglas Uggah Embas yang menang di Bukit Saban pada pilihan raya negeri Sarawak 7 Mei lalu, dan seterusnya dilantik sebagai seorang daripada tiga Timbalan Ketua Menteri.

Jawatan itu kini dipangku Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Batang Sadong, Nancy Shukri.

Jawatan menteri penuh itu dari segi kuota, dirizabkan untuk Ahli Parlimen dari sayap Pesaka, PBB, iaitu daripada masyarakat Dayak. Alexander, Ahli Parlimen Kapit kini Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah dari sayap berkenaan dijangka akan dinaikkan pangkat menjadi menteri.

Jawatan timbalan menteri dikosongkan beliau akan diisi oleh Ahli Parlimen PBB juga, dan menurut laporan Borneo Post semalam, dijangka diisi oleh  Henry Sum.

Kekosongan jawatan menteri ekoran kematian Datuk Norsiah Kasnon yang terkorban dalam tragedi helikopter dan ia bakal diisi oleh pemimpin politik Umno. Manakala satu lagi kekosongan ekoran pengunduran Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, selepas Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah dilantik sebagai Menteri Besar Kedah bagi mengisi kekosongan ditinggalkan Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang didesak mengosongkan jawatan itu.

Dalam pada itu, kolumnis Sunday Star itu berkata kemungkinan Datuk Seri Idris Jusoh akan  dipindahkan ke portfolio baharu yang lebih kanan,

Nama disebut-sebut mengisi kekosongan jawatan Menteri Pengajian Tinggi ialah Datuk Razali Ibrahim, Ahli Parlimen dari Johor.

Pada Ogos lalu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Presiden Umno digugurkan daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri, dan beliau digantikan oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Seorang lagi yang digugurkan ialah Datuk Seri Shafie Afdal, Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, dan jawatan itu diisi oleh Datuk Ismail Sabri Yaakob.

Zahid, dalam pada itu, dipetik sebagai berkata, beliau tidak menjangka akan berlaku rombakan besar.

Penganalisis politik berkata, rombakan kabinet kali ini bukan sahaja untuk mengisi kekosongan, tetapi  memberi ruang kepada Najib untuk memantapkan kedudukannya, serta memastikan prestasi kerajaan dan BN dapat diperkukuh sebelum menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

PRU-14 dijangka seawal-awalnya hujung tahun depan dan selewat-lewatnya April 2018 meskipun ada yang mengesyorkan Najib mengawalkannya ekoran kemenangan cemerlang di Sarawak, Kuala Kangsar dan Sungai Besar. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru