Friday, July 1, 2022

Muhyiddin: Saya tak rela hidup melutut

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dipecat sebagai Timbalan Presiden Umno kelmarin mengambil pendirian tidak akan merayu terhadap keputusan Majlis Tertinggi  parti yang menjadi wadah perjuangannya selama 40 tahun itu.

13413556_1011697612242131_4722039285059153423_nDalam reaksi pertama selepas pemecatan semalam, bekas Timbalan Perdana Menteri berkata, dia tidak rela hidup melutut atau tunduk bersekongkol dengan perbuatan jahat pemimpin yang merosakkan bangsa dan negara.

Sebaliknya, katanya, dia akan terus berjuang melaksanakan tanggungjawab kepada agama, bangsa dan negara.

Malah beliau menyeru rakyat Malaysia supaya menilai kebenaran supaya tidak membiarkan negara diperlakukan sewenang-wenangnya oleh pemimpin rakus.

“Sebagai rakyat, anda berhak untuk membuat perhitungan yang terbaik demi masa depan anda, keluarga dan negara,” serunya dalam satu kenyataan media hari ini.

Kata Ahli Parlimen Pagoh itu: “Walaupun tindakan terhadap saya daripada penggantungan jawatan sehingga pemecatan saya daripada parti bercanggah dengan proses keadilan dan tidak berperlembagaan, saya tidak akan merayu.”

“Saya reda dengan ketentuan Allah. Saya sudah melaksanakan tanggungjawab sebagai pemimpin Umno dan akan tetap terus melaksanakan tanggungjawab saya kepada agama, bangsa dan negara seperti pejuang bangsa kita sebelum ini,” katanya dalam kenyataan itu.

Beliau yang menduga dari awal akan dipecat, berkata sejarah  perjuangannya akan terus terpahat dalam ingatannya, “kerana Umno sekian lama menjadi sebahagian daripada denyut nadi dan darah daging saya. Hakikat ini tidak boleh dinafikan oleh sesiapa pun hatta diri saya sendiri.”

Beliau berkata reda dengan ketentuan Allah SWT  serta mengakui telah melaksanakan tanggungjawabnya sebagai pemimpin Umno.

“Sahabat saya Datuk Seri Mukhriz Mahathir juga dipecat dan Datuk Seri Shafie Apdal digantung keahlian. Segala-galanya berlaku hanya kerani kami mengambil langkah berani menegur Perdana Menteri yang sudah jauh tersasar daripada perjuangan Umno yang asal,” tambahnya dalam kenyataan yang sama.

Sementara itu, Timbalan Presiden Umno berkata, semua pemimpin dan ahli Umno perlu menerima keputusan pemecatan bekas Muhyiddin Yassin dan bekas Menteri Besar Mukhriz Mahathir daripada Umno dengan hati terbuka.

Ketika diminta mengulas tentang pemecatan itu oleh media  di sini semalam, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, apa yang penting sekarang mewujudkan semula perpaduan agar Umno terus relevan.

“Saya mahu perpaduan diwujudkan semula biarpun ini agak sukar di peringkat awal tetapi saya fikir Umno telah melalui pelbagai era dan dugaan demi dugaan yang mendatang,” katanya.

“Apabila perpaduan diperkasakan dalam parti, maka Barisan Nasional dapat memacu dan memperkasakan perjuangan selanjutnya,” katanya yang juga ahli Parlimen Bagan Datoh

“Ketaatan  adalah harga paling mahal yang perlu dibayar,” katanya.

Ahmad Zahid bercakap kepada pemberita selepas menghadiri majlis perasmian Hypermarket LuLu oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di sini, semalam. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru