KUALA LUMPUR:  Menteri Pertahanan berkata, Malaysia terus komited terhadap Perjanjian Pertahanan Lima negara (FPDA) meskipun Britain mengambil keputusan keluar dari Kesatuan Eropah.

brexitDatuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, dalam catatan terbaharu Facebooknya berkata, beliau menerima panggilan telefon daripada Menteri Pertahanan Britain, Philip Dunne.

“Kami membincangkan  pungutan suara tentang keanggotaan UK dalam Kesatuan Eropah (EU), dan majoriti rakyat Britain menyatakan keinginan mereka untuk keluar EU,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Katanya: “Ini benar-benar satu detik bersejarah bukan sahaja untuk UK, tetapi seluruh dunia,” katanya.

Sebanyak 51.9 peratus daripada rakyat Britain mengundi untuk keluar dari EU, Khamis setelah menganggotai blok yang terdiri daripada 28 negara tersebut pada 1973.

Beliau berkata, FPDA telah memainkan peranan penting dalam meningkatkan kerjasama serantau dan keselamatan untuk tempoh empat dekad lalu.

“Kerjasama ini terus berkembang sebagai satu komponen penting dalam pembangunan keupayaan ketenteraan negara-negara anggota dan saling boleh sepakat. Dengan itu, Malaysia bertegas dan tetap komited untuk meneruskan keanggotaan dalam FPDA,” katanya.

“UK dan  Malaysia telah menjalinkan persahabatan untuk sekian lama. Kita akan meneruskan persahabatan ini sama ada dalam bidang pertahanan atau bidang-bidang lain.

Perhubungan ini telah dibina di atas landasan yang kukuh dan hasil pungutan suara semalam tidak akan menjejaskan hubungan rapat. Kami akan terus melangkah ke hadapan bagi masa depan yang lebih cerah untuk dikongsi bersama,” katanya.

Mengakui bahawa keputusan Britain itu membawa sesuatu yang tidak pasti, namun Hishammuddin berkata, beliau bersetuju dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bahawa ekonomi Malaysia tidak akan terjejas teruk susulan tindakan Britain itu.

Katanya, Perdana Menteri telah memberi jaminan bahawa berdasarkan asas negara yang kukuh, kepelbagaian struktur ekonomi dan kemudahan aliran tunai memberi ert kedudukan ekonomi negara tidak akan terjejas teruk oleh perkembangan ini. – Sarawakvoice.com