Sunday, August 14, 2022

Jangan berbalah kalau mahu menang, nasihat Anwar dari Penjara Sungai Buloh

Secara Rawak

KUALA LUMPUR:  Datu Seri Anwar Ibrahim menasihati parti pembangkang agar bersatu, serta mengelak bertengkar dengan mengetepikan perbezaan dan perbalahan bagi memastikan ia dapat mengalahkan Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14.

Mantan ketua pembangkang itu mahu ahli politik pembangkang meletakkan kebajikan rakyat sebagai keutamaan kerana pemimpin politik sepatutnya berkhidmat untuk rakyat.

“Kita wujud untuk berkhidmat kepada rakyat. Sampaikan keluhan dan rungutan dengan saluran yang betul; duduklah bersama untuk mengatasi dan menyelesaikan masalah,” katanya dalam surat terbuka yang ditulis dari Penjara Sungai Buloh.

Nasihat Anwar itu tercetus ekoran perbalahan dalam kalangan parti pembangkang ketika berdepan Barisan Nasional dalam pilihan raya kecil Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar. Pas dan Amanah bertanding sesama sendiri, selain menentang Barisan Nasional.

Pilihan raya itu menyaksikan BN menang dengan pencapaian menakjubkan apabila mengukuhkan undi majoriti. Undi majoriti BN di Sungai besar ialah 9,191 berbanding 399 pada 2013, dan di Kuala Kangsar pula ialah 6969, berbanding 1, 082 sebelumnya.

Anwar berkata, rakyat Malaysia menyematkan harapan mereka terhadap parti pembangkang untuk menyelamatkan negara ini daripada penindasan, rasuah dan kebankrapan moral rejim semasa.

“Kita mesti melalui segala-galanya demi Malaysia”, tulis Anwar dan surat terbukanya itu, sambil menambah kalau pembangkang bersatu demi rakyat, ia akan berjaya.

Teks surat berkenaan telah dikeluarkan oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Bekas ketua pembangkang itu menjalani hukuman penjara selama lima tahun atas tuduhan meliwat.

Anwar menasihati parti-parti pembangkang supaya menerima kekalahan pilihan raya kecil dengan rendah hati. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru