2 maut kereta bertembung treler di Tatau awal pagi tadi

0
7

TATAU: Gagal membuat pertimbangan yang tepat menjadi punca kematian dua sahabat apabila kenderaan Proton Wira yang dipandu mereka bertembung dengan sebuah treler di kawasan berhampiran Rumah Tempaling, Jalau Tatau-Bintulu, dekat sini awal pagi tadi.

Dalam kejadian sekitar jam 5.25 pagi itu, kenderaan itu dipercayai cuba memotong sebuah kenderaan lain namun gagal mengesan kehadiran treler yang datang dari arah bertentangan.

“Kedua-dua kenderaan itu kemudian bertembung mengakibatkan proton wira tersebut remuk di bahagian depan,” kata saksi kejadian.

image image image image image image image

Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri, Farhan Sufyan Borhan, pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar jam 5.31 pagi dan sebuah jentera dengan kekuatan tujuh anggota dikejarkan ke lokasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Tatau.

“Pasukan kami tiba sembilan minit kemudian dan mendapati pemandu dan penumpang kenderaan Proton Wira telah maut serta-merta, akibat pertembungan tersebut.

“Pemandu trailer pula mendapat kecederaan ringan dan dapat dikeluarkan segera.

Pihak bomba katanya, terpaksa menggunakan peralatan menyelamat untuk mengeluarkan mayat kedua-dua mayat yang tersepit.

“Kerja-kerja ini selesai selepas lebih sejam dan semua mangsa diserahkan kepada pasukan paramedik dan polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Mangsa yang maut kemudian dikenali sebagai Bail Unyah, 26 tahun dan rakannya, Alexander Tagar, 25 tahun, kedua-duanya dari Bintulu. – Sarawakvoice.com