Monday, November 28, 2022

166 ribu pelajar Sarawak terima bantuan RM3.9 bilion – Pengerusi PTPTN

Secara Rawak

KUCHING: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) telah mengeluarkan pembiayaan kepada 2.83 juta pelajar di negara ini membabitkan nilai pinjaman berjumlah RM64.7 bilion bagi membolehkan mereka melanjutkan pelajaran.

Pengerusinya, Datuk Shamsul Annuar Nasarah berkata, daripada jumlah ini, 166,976 merupakan pelajar dari Sarawak yang mendapat pembiayaan berjumlah RM3.9 bilion sehingga kini.

“Jumlah ini amat besar, yang turut memberi implikasi beban hutang kepada PTPTN daripada institusi-institusi kewangan tempatan.

Sehubungan itu katanya, kerajaan kini mengadakan inisiatif baharu dengan menggalakkan rakyat untuk melakukan tabungan bagi memastikan apabila tiba saat untuk anak-anak mereka menyambung pembelajaran kelak, ia tidak menjadi satu beban yang berat.

“Saya percaya, kemampuan untuk tidak bergantung sepenuhnya kepada pinjaman pendidikan akan menjadi kenyataan kerana sehingga kini, sejumlah 132,290 pendeposit telah membuka akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN)-i membabitkan nilai RM121 juta, di negeri ini – salah satu alternatif untuk kita mengurangkan pinjaman pendidikan.

“Menerusi program ini, orang ramai digalakkan menabung RM1 sehari di dalam SSPN-i Plus dan ia amat menguntungkan, kerana turut menawarkan kadar dividen tahunan sebanyak empat peratus,” katanya selepas menghadiri Majlis Pelancaran SSPN-i Plus dan Ejen Online peringkat negeri Sarawak, di sini semalam.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof.

Kadar ini kata Shamsul, adalah lebih tinggi berbanding kadar faedah untuk akaun simpanan di kebanyakan institusi kewangan konvesional yang lain.

Menjelas lanjut, Shamsul berkata, pihaknya mensasarkan sekitar 30,000 akaun baharu SSPN-i Plus sehingga 31 Disember depan.

“Dan menjelang tahun 2020 kita berharap dapat mengutip deposit sebanyak RM2.1 bilion.

Untuk mencapai bilangan pendeposit yang bertambah katanya, PTPTN telah melancarkan promosi SSPN-i Plus di seluruh negara, dengan tabungan bulanan serendah RM1 sehari itu kelak melayakkan pendeposit menerima perlindungan takaful sehingga RM40,000.

“Ia merupakan perlindungan takaful yang murah, dengan dividen yang kompetitif serta mendapat pelepasan cukai taksiran sehingga RM12,000 setahun dan patuh syariah.

Shamsul menjelaskan, sekiranya iltizam ibu bapa untuk menabung demi pendidikan anak mereka berlangsung dengan penuh disiplin, kos menanggung lanjutan pendidikan boleh diminimumkan.

“Mungkin kos pendidikan lanjutan anak-anak berjumlah RM35,000, dan mereka kelak hanya perlu meminjam RM25,000 , manakala selebihnya RM10,000 dikeluarkan daripada simpanan SSPN-i.

Ibu bapa juga diberikan pelepasan taksiran cukai pendapatan sehingga RM6,000 setahun dengan tabungan ini.

“Dengan pelepasan taksiran cukai dan kadar dividen yang diberi, pendeposit SSPN-i Plus sebenarnya mendapat keuntungan sehingga hampir 30 peratus.

Yang penting katanya, matlamat kerajaan akan tercapai untuk memastikan mana-mana pelajar yang ingin melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti tetapi mempunyai masalah kewangan dapat diselesaikan melalui program SSPN-i Plus ini.

Mengenai program Rakan Niaga Affiliate dan Ejen Pemasaran Online PTPTN, Shamsul menjelaskan ia bertujuan menggalakkan penyertaan rakyat Malaysia untuk menyimpan dalam SSPN-i Plus.

“Komisen sebanyak 15 peratus akan diberikan kepada Rakan Niaga Affiliate dan 25 peratus akan diberikan kepada Ejen Pemasaran Online, manakala tiada sebarang modal diperlukan.

“Sebaliknya, waktu kerja juga amat anjal dan fleksibel, dengan latihan serta bimbingan juga turut diberikan selain proses ini tidak melibatkan transaksi tunai.

Katanya, pihaknya menaruh harapan 2.6 juta pendeposit SSPN-i kembali mencarum kerana produk itu adalah instrumen patuh syariah yang cukup sesuai dengan semua lapisan masyarakat. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru