Saturday, October 8, 2022

Tiga lelaki di bawah pengaruh dadah dicekup dalam Op Bersepadu Polis Sarawak

Secara Rawak

KUCHING: Tiga lelaki yang dipercayai di bawah pengaruh dadah dicekup polis awal pagi ini dalam operasi bersepadu yang dijalankan serentak di kawasan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching, Padawan, Kota Samarahan, dan Bau.

Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Kontinjen Sarawak, Senior Asisten Komisoner Che Yussof Che Ngah, berkata, dalam operasi yang bermula jam 11 malam hingga 4 pagi itu, sebanyak 268 buah kenderaan dan 397 individu diperiksa manakala 25 keping saman dikeluarkan.

“Operasi ini akan kita jayakan sehingga 5 Julai depan dalam usaha untuk membendung kes-kes pecah rumah, curi kenderaan dan jenayah jalanan yang dikatakan semakin meningkat di kawasan-kawasan ini.

“Sebanyak 22 pegawai dan 170 anggota digunakan untuk melaksanakan operasi ini dan selain asset darat, kita turut menggerakkan sebuah helikopter untui membantu dari udara,” jelasnya.

Operasi ini selari dengan beberapa kejadian rompakan berkumpulan bersenjata yang berlaku di sekitar Kuching dan Padawan dalam tempoh kurang seminggu kebelakangan ini.

“Pada masa yang sama ia juga bertujuan sebagai aktiviti pencegahan jenayah di kawasan-kawasan ini terutama menjelang musim perayaan.

“Dengan kehadiran pihak polis, kita berharap keyakinan orang ramai akan tahap keselamatan mereka kembali pulih,” katanya.

Tiga pesalah dadah tersebut akan disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Selain itu, polis turut menurunkan 41 kain rentang pemberi pinjam wang tanpa lesen. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru