Saturday, December 3, 2022

Tiada lagi bantuan untuk Yayasan pimpinan Dr Mahathir

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menghentikan segala bentuk sumbangan kepada Yayasan Kepimpinan Perdana (YKP).

Perdana Menteri berkata, ini adalah kerana YKP digunakan sebagai pusat untuk merancang untuk menjatuhkan kerajaan yang dipilih secara sah di sisi undang-undang secara tidak demokratik.

yayasan3YKP  yang ditubuhkan pada 2003, diterajui Tun Dr Mahathir Mohamad  itu dilihat  bersekongkol dengan pembangkang untuk menjatuhkan Datuk Seri Najib Razak daripada kerusi Perdana Menteri.

“Atas saranan Pemuda Umno, MT Umno juga meminta pihak kerajaan untuk memutus segala sumbangan kepada YKP,” kata Najib dalam sidang media di Menara Datuk Onn, PWTC, di sini, petang Jumaat.

Dalam hubungan ini, katanya, kerajaan akan menghentikan peruntukan kewangan, penyelenggaraan mahupun kakitangan yang diberikan kepada YKP.

Semalam, Naib Ketua Pemuda Umno Malaysia, Khairul Azwan Harun dalam satu kenyataan mendesak kerajaan menghentikan segala bentuk bantuan yang diberikan kepada YKP.

Menurut Najib, beliau akan mengarahkan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa untuk tindakan selanjutnya.

“Kakitangan YKP akan diberi notis pemberhentian yang sewajarnya,” katanya.

Sementara itu, Dr Mahathir berkata, beliau tidak akan berasa kehilangan sekiranya kerajaan menarik balik bantuan yang diberikan kepada YKP, namun bersedih kerana cadangan itu disuarakan sendiri oleh Pemuda Umno yang akan menerajui kepemimpinan masa hadapan.

“Sebelum mendapat kuasa pun, kebengisan dan ‘corruption of power’ sudah ditunjuk.

“Saya biasa dan faham dengan kehidupan tanpa keistimewaan. Hanya saya sedih memikirkan masa depan negara tercinta ini,” tulisnya dalam blog chedet.cc.

Idea penubuhan YKP dicetuskan oleh Mathias Chang, setiausaha politik Dr Mahathir, dan diterima baik oleh kerajaan dan sektor swasta ketika itu.

Objektif YKP, antara lain, adalah untuk mengkaji, mendokumentasi, dan menyebarkan warisan intelektual perdana menteri Malaysia yang lepas, mencetuskan kesedaran tentang proses pembangunan negara, dan bertindak sebagai wadah untuk pembangunan masa depan. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru