Monday, November 28, 2022

Gengster tempatan ugut bunuh Bill Kayong: Beri ganjaran kepada pemberi maklumat

Secara Rawak

KUCHING: Pihak berkuasa mungkin boleh mempertimbangkan untuk memberi ganjaran dalam bentuk wang kepada orang ramai yang memberi maklumat sehingga tertangkapnya pembunuh yang meragut nyawa Bill Kayong pada pagi Selasa.

Setiausaha PKR Cawangan Miri dan Presiden Persatuan Dayak Sarawak (Pedas) ditembak dengan senapang patah di leher dan muka oleh individu yang tidak dikenali, dan mati serta-merta mengikut laporan forensik.

Jenazah Bill yang juga dikenali dengan  nama Islam, Mohd Hasbi Abdullah dikebumikan, di Tanah Perkuburan Islam Lambir di Jalan Lusut, Kampung Tunku Abdul Rahman, Lambir sekitar pukul 3 petang, Jumaat.

Upacara ngegaie turut diadakan selama dua malam mengikut kepercayaan Iban. Bill berasal dari Betong, dan tidak kurang daripada 5,000 orang melayat jenazahnya, termasuk pemimpin politik, ahli parti dan aktivis Pedas, di rumahnya di Desa Senadin. (Melayat mengikut Kamus Dewan bermaksud melawat jenazah).

Kata Baru: “Bukan itu sahaja mungkin kerajaan negeri boleh membantu menawarkan ganjaran ini untuk kita selesaikan kes jenayah sedemikian,” kata Baru Bian, Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Negeri  dalam sidang akhbar di sini, semalam.

Beliau berkata, bagi kes serius, bukan sahaja di Malaysia tetapi negara lain, akan ada ganjaran disediakan pihak berkuasa bagi membantu menyelesaikan kes berkenaan.

Sidang media berkenaan turut dihadiri Naib Pengerusi PKR Negeri See Chee How dan Naib Ketua  Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pusat Voon Shiak Ni di sini, semalam.

“Kita berharap  pihak berkuasa akan melakukan siasatan terbaik demi menyelesaikan perkara ini,” tegasnya.

Baru turut menangkis kenyataan  Ketua Polis Miri, ACP Junaidi Bujang bahawa polis di Miri tidak dapat bertindak terhadap gengster yang membuat ugutan kerana  tidak mencukupi bukti.

Baru berkata jawapan  berkenaan memang sudah dijangkakan.

“Ini merupakan jawapan yang memang kami jangkakan daripada beliau, dan memang benar, beliau tidak mengecewakan dari segi itu,” katanya bernada sinis.

Bukti tidak mencukupi mungkin alasan yang boleh diterima jika hanya terdapat satu dua kejadian  berlaku.

Tetapi  ia sama sekali tidak dapat diterima dalam  kes  penduduk kampung Bekelit yang menjadi mangsa, lebih-lebih lagi  banyak laporan telah dibuat,” tambahnya.

Baru mendakwa Bill menerima panggilan telefon daripada gengster tempatan yang mengugut untuk membunuhnya kerana merekodkan pemberian wang  kepada Bill untuk berunding dengan penduduk kampung.

“Bill telah memperdengarkan rakaman itu kepada penduduk kampung dan gengster tersebut mengetahui tentang perkara itu.

“Laporan dibuat tetapi tiada tindakan diambil oleh polis. Dr Michael Teo turut menerima ancaman maut daripada gengster yang sama,” katanya.

“Tentu, selepas beberapa tahun, polis tahu apa yang berlaku di bawah jagaan mereka,” katanya.

Dr Michael merupakan Ahli Parlimen Miri, dan Bill merupakan pembantu peribadi beliau. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru