Unit agama bukan Islam perkukuh keharmonian dan kesepaduan sosial

KUCHING: Azam mengukuhkan keharmonian hubungan agama dan kesepaduan sosial dalam masyarakat pelbagai etnik dan budaya di negeri Sarawak merupakan penggerak di sebalik penubuhan Unit Hal Ehwal Selain Islam di bawah Jabatan Ketua Menteri.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, unit berkenaan akan berperanan sebagai wadah penting untuk membincangkan dan menyelesaikan isu berkaitan agama lain, selain agama bukan Islam.

Uggah dilantik sebagai menteri bertanggungjawab kepada hal ehwal bukan Islam oleh Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem baru-baru ini.

“Penubuhannya langkah yang tepat dengan suasana harmoni dalam kalangan rakyat pelbagai kaum di negeri ini, malah kita yakin penubuhannya mampu memperkukuhkan lagi semangat perpaduan sedia ada,” katanya kepada pemberita semalam, selepas mempengerusikan mesyuarat pertama unit berkenaan.

Wakil institusi keagamaan bukan Islam kecuali Taoism hadir, dan bersetuju dengan penubuhannya.

Sarawak yang mempunyai 2.6 juta penduduk terdiri daripada   penganut agama Islam, Kristian, Buddha, Hindu, Bahai, Taoism dan Sikh.

Uggah yang juga Menteri Pemodenan Pertanian dan Ekonomi Luar Bandar berkata, daripada maklum balas wakil berkenaan, mereka berpendapat bahawa unit itu penting diwujudkan, malah menganggapnya sebagai satu langkah ke  arah keterangkuman, kerana agama minoriti berasa tidak diabaikan.

Dalam hubungan ini, Uggah berkata unit itu akan berfungsi sebagai jambatan penghubung bagi memperkukuh hubungan masyarakat pelbagai etnik, budaya dan agama di Sarawak.

“Sesungguhynya, banyak isu berkaitan agama berkenaan yang dapat dibincangkan, dan unit ini tentu dapat dijadikan landasan untuk kita mencari penyelesaian terhadap isu berkaitan,” katanya.

Mesyuarat seterusnya akan diadakan untuk membincangkan perkara lebih lanjut berkaitan perincian agenda dan hala tuju unit berkenaan. – Sarawakvoice.com