Wednesday, December 7, 2022

Perairan Sarawak masih selamat daripada ancaman lanun, perompak laut – Ketua Pengarah APMM

Secara Rawak

KUCHING: Perairan Sarawak diisytiharkan sebagai laluan selamat biarpun berlaku satu dua kejadian rompakan kecil-kecilan, kata Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Datuk Ahmad Puzi Ab Kahar.

Menurutnya, sebanyak 77 ribu kapal menggunakan laluan negara setiap tahun, justeru jika ada satu dua kes yang berlaku, ia amat terpencil dan kecil jumlahnya.

“Namun kita tetap bersiap siaga menghadapi apa jua kemungkinan kerana kita mahu mencapai sasaran sifar kes,” katanya kepada sarawakvoice.com di Kompleks APMM Wilayah Sarawak di Muara Tebas dekat sini.

97a4028e-017e-414e-8b3f-722dc4686ad6

Kata Puzi, pihaknya yakin mampu memperoleh sifar kes di kawasan perairan negara berdasarkan kejayaan menangani masalah lanun di perairan Selat Melaka.

“Selat Melaka pernah menjadi antara laluan yang berbahaya dengan tidak kurang 38 kes setahun. Namun dengan kerjasama pelbagai pihak, kita berjaya mengurangkan kadar rompakan di kawasan tersebut.

“Pada tahun 2009 dan 2010, kita berjaya mencatatkan sifar kes manakala pada tahun 2011 kita berjaya menangkap tiga kumpulan perompak.

Katanya, pada akhir tahun lalu, dua lagi kumpulan perompak berjaya dilumpuhkan.

“Ini menjadikan secara keseluruhannya, sebanyak 60 kumpulan perompak laut atau lanun berjaya dikekang oleh agensi-agensi keselamatan yang meliputi Malaysia, Indonesia, Thailand dan Vietnam.

Pencapaian ini kata Puzi, diiktiraf bukan sahaja oleh negara-negara di Asia Tenggara, malah seluruh dunia kerana perairan kita digunakan oleh warga maritim antarabangsa.

Sepanjang 10 tahun ini katanya lagi, APMM telah berjaya merampas tidak kurang RM290 juta nilai aset manakala dari aspek penyelamatan pula, hampir RM600 juta berjaya diselamatkan, dalam bentuk feri dan bot nelayan yang berhadapan masalah.

“APMM juga telah menyelamatkan tidak kurang daripada 4,000 nyawa yang berhadapan masalah di laut, seperti bot hanyut, bot karam dan lain-lain.

Bagi meneruskan kejayaan ini katanya, APMM berharap kerjasama dengan pelbagai pihak akan terus dipertingkat khususnya daripada kalangan warga Malaysia sendiri yang berada di pesisir pantai, di kawasan laut malah mereka yang bertugas di pelantar-pelantar minyak.

“Kerjasama dan maklumat mereka amat diperlukan kerana lanun-lanun ini bukan timbul di laut, sebaliknya bermula dari kawasan daratan,” katanya.

Sementara itu, bagi mengekang elemen penyeludupan dan kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI), Puzi semalam turut mengumumkan Op Khas Pagar Laut 01/2016.

“Operasi khas ini dilaksanakan di seluruh negara, dengan kawalan di perairan sempadan dan pintu masuk negara yang dikenali sebagai ‘titik panas’ akan dipertingkat dengan kehadiran sekurang-kurangnya tiga aset setiap hari.

Operasi ini kata Puzi, merangkumi tiga fasa iaitu fasa persediaan dengan pengumpulan maklumat dan siap siaga aset, fasa kedua berkaitan tugas penguatkuasaan sebelum perayaan dan fasa ketiga iaitu penguatkuasaan selepas perayaan. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru