Tuesday, June 28, 2022

Jenazah Bill selamat disemadikan, berhenti sebentar di Pejabat PKR Miri

Secara Rawak

MIRI: Naib Presiden Parti Keadian Rakyat (PKR) Nurul Izzah Anwar berkata, parti itu komited untuk menuntut keadilan terhadap kematian Setiausaha Cabang Mirinya, Bill Kayong dan berharap tindakan sewajarnya segera diambil oleh pihak berkuasa untuk menyelesaikan kes ini.

Bercakap kepada media di Pejabat PKR Cabang Miri, siang tadi, Nurul Izzah berkata, dunia terkejut dengan kematian yang menimpa ahli Parlimen Britian, Jo Cox yang dibunuh minggu lalu, namun yang lebih mengejutkan, kejadian kejam yang serupa berlaku di tanah air ini sendiri dan dalam kalangan ahli parti itu sendiri.

“Mangsa (Bill Kayong) merupakan salah seorang calon kita (dalam pilihan raya negeri yang lalu), seorang akitivis yang komited dalam mempertahankan hak rakyat Sarawak, terutamanya yang bersabit dengan hak tanah adat Bumiputera.

“Kami akan terus bekerjasama dengan pihak polis untuk memastikan bukan sahaja dalang kepada kejadian ini diheret ke muka keadilan malah isu yang diperjuangkan oleh Bill Kayong turut didengar oleh pihak berkuasa,” katanya.

Menurutnya, pembulian, penderaan dan ketidakadilan yang berlaku bertahun-tahun kepada masyarakat luar bandar ini perlu ditangani segera dan rakyat Sarawak sendiri lebih tahu akan perkara ini.

Jenazah Bill, 43 tahun atau nama Islamnya Mohd Hasbie Abdullah dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Lambir, Jalan Lusut-Taman Tunku, dekat sini selepas disembahyangkan usai solat Jumaat di Masjid Ar Rayyan, Permyjaya.

Kenderaan jenazah yang diketuai oleh van polis bagaimanapun singgah sebentar di Pejabat PKR Cabang Miri sekitar jam 2.05 petang sebagai simbolik menghormati perjuangan politik Bill sebelum meneruskan perjalanan terakhirnya ke tanah perkuburan tersebut.

Lebih 5,000 orang hadir memberi penghormatan kepada Allahyarham Bill, termasuk sekitar 2,000 yang berada di kediamannya di Desa Senadin semalam.

Allahyarham yang ditembak mati di lehernya pada Selasa lalu meninggalkan seorang isteri, seorang anak lelaki yang baru memasuki sebuah kolej swasta di Selangor dan seorang anak perempuan yang belajar kini menuntut di Tingkatan 2 di salah sebuah sekolah menengah di Miri.

Turut hadir Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dan pemimpin-pemimpin tertinggi parti tersebut, yang diberi kelonggaran oleh kerajaan negeri untuk memasuki negeri ini. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru