Friday, August 19, 2022

500 kanak-kanak gagal disuntik imunisasi vaksin dalam tiga bulan pertama tahun ini – Timbalan Menteri

Secara Rawak

BAYAN LEPAS: Sekurang-kurangnya 500 kanak-kanak di negara ini gagal mendapatkan imunisasi vaksin percuma yang diberikan kerajaan sepanjang tiga bulan pertama tahun ini, kata Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya.

Menurutnya, berdasarkan rekod Kementerian Kesihatan , keadaan ini dianggap serius dan berpotensi untuk meningkat sekali ganda berbanding sekitar 1,500 kanak-kanak pada tahun lalu.

“Oleh itu kita minta ibu bapa membawa anak-anak mereka ke pusat perubatan terdekat dan mendapatkan vaksin ini berikutan merebaknya wabak difteria yang semakin membimbangkan.

“Lewat mendapatkan vaksin bukan bermakna sudah lambat untuk mendapatkan suntikan berkenaan,” pesannya selepas menyampaikan sumbangan Hari Raya peringkat Barat Daya di Pasar Raya Mydin Bukit Jambul, di sini.

Penularan bakteria difteria di negara ini pada minggu lalu telah menyebabkan dua kanak-kanak di Kedah dan di Melaka maut, sementara 11 lagi masih dalam rawatan.

Menurut pakar perubatan, penyebaran bakteria ini seharusnya dapat dikekang kerana negara ini sudah berpuluh tahun berjaya menghadapinya, dengan sistem imunisasi vaksin percuma yang diberikan oleh kerajaan. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru