Saturday, December 3, 2022

Strategi ampuh punca kemenangan BN

Secara Rawak

SHAH ALAM: Kemenangan dalam pilihan raya kecil Parlimen Sungai Besar begitu penting bagi Umno-Barisan Nasional (BN), lebih-lebih lagi bagi Pengerusi BN Selangor, Tan Sri Noh Omar.

Justeru, segala strategi dicongak oleh BN Pusat dan Negeri bagi memastikan kemenangan besar, tanpa banyak mengambil kira faktor  kelemahan parti pembangkang.

Bagi Noh, strategi ampuh dan keberkesanan jentera merupakan faktor utama kemenangan BN di kerusi berkenaan, bukannya kelemahan parti lawan.

“Tidak kira mereka berpecah, kuat atau lemah. Kami cuma bertumpu kepada kekuatan sendiri dengan meletakkan jumlah sasaran pengundi,” katanya dalam sidang media di sini, semalam.

BN, katanya memperkenalkan strategi baharu dalam kempennya, dengan mengadakan sesi permukiman dengan semua pimpinan BN negeri bagi menarik pengundi putih mengundi.

Noh yang juga Pengarah PRK Sungai Besar berkata: “Sokongan dan kerjasama erat MCA dan MIC serta parti komponen lain membuatkan BN menang cemerlang.”

BN berdepan dengan calon Amanah dan Pas di kedua-dua kerusi berkenaan, dan menang dengan majoriti mengagumkan pada 18 Jun.

Perpecahan berlaku dalam kalangan parti pembangkang apabila mereka gagal bersepakat sehingga perpecahan undi berlaku.

Selain itu, pengundi sudah muak dengan kerenah mereka yang tidak berkompomi.

Noh berkata, parti itu berjaya mencapai sasaran Indeks Prestasi Utama (KPI) ditetapkan dengan menarik 17,000 pengundi daripada parti komponen BN keluar mengundi.

Bagi beliau, kemenangan BN di dua kerusi Parlimen membuktikan Deklarasi Rakyat yang diterajui bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ditolak rakyat.

“Dr Mahathir sepatutnya mengarahkan deklarasi ini dihentikan sebab tidak beri faedah kepada rakyat,” sambil menyarankan agar beliau berehat bagi mengembalikan penghormatan  rakyat terhadapnya. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru