Thursday, December 8, 2022

Masing pelawa swasta bantu dalamkan laluan Pelabuhan Miri

Secara Rawak

MIRI:  Kerajaan Negeri Sarawak semalam mempelawa syarikat-syarikat swasta yang berkebolehan untuk bekerjasama melaksanakan projek mendalamkan Pelabuhan Miri di Kuala Baram untuk membolehkan lebih banyak kapal menggunakan pelabuhan tersebut.

Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pengangkutan, Tan Sri Dr James Jemut Masing berkata, tindakan ini dilakukan memandangkan laluan sungai tersebut terlalu cetek yakni hanya sedalam tiga meter ketika air pasang tinggi manakala satu meter ketika air surut.

“Kerajaan negeri telah memutuskan untuk tidak membiayai projek tersebut manakala kerajaan persekutuan juga telah menolak cadangan kerja-kerja pendalaman ini.

“Oleh itu sebagai jalan penyelesaian, kita telah bersetuju untuk mempelawa mana-mana syarikat swasta untuk menjayakan projek yang dianggarkan menelan kos sebanyak RM679 juta ini, ” katanya selepas melawat Lembaga Pelabuhan Miri semalam.

Menurutnya, untuk peringkat awal, projek ini memerlukan kerja-kerja mendalamkan laluan sungai  sehingga  lapan meter bagi membolehkan kapal yang lebih besar melaluinya,  dan menggunakan kemudahan di pelabuhan.

“Kerja-kerja teknikal dan penyelidikan lapangan projek ini telah lama dilaksanakan tetapi kekurangan dana daripada kerajaan menyebabkan ia tidak dapat dilaksanakan,” katanya.

“Akan tetapi kita tetap melihat projek ini sebagai sangat penting. Kerana itulah kita mempelawa syarikat-syarikat yang berkebolehan untuk menjayakannya,” katanya yang menjangkakan projek ini akan siap dalam tempoh dua setengah tahun.

Ketika ini katanya, pelabuhan ini hanya beroperasi pada kapasiti 30 peratus berikutan kekurangan kapal yang singgah dan berlabuh. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru