Thursday, December 8, 2022

Kongsikan kekayaan, bantu kukuhkan perpaduan kaum

Secara Rawak

KUANTAN: Perdana Menteri berkata, ahli perniagaan Melayu dan Cina bukan sahaja perlu berkongsi kekayaan, tetapi bekerjasama membantu kerajaan mengukuhkan perpaduan kaum dan kestabilan politik di negara ini.

13516521_10153583718720952_7839130710174829457_nDengan menjadi rakan kongsi dalam konsep 1Malaysia, Datuk Seri Najib Razak percaya, lebih banyak peluang pertumbuhan ekonomi kepada rakyat akan dapat dicipta jika kerjasama tersebut terjalin kukuh.

“Ia akan memberi manfaat kepada semua pihak kerana penting bagi mengukuhkan kedudukan ekonomi negara, serta menarik minat para pelabur asing ke negara ini untuk jangka panjang,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persekutuan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCIM) Ke-70 di sini, semalam.

Dalam ucapannya, Najib  turut percaya bahawa masyarakat dan pengundi Cina telah menerobosi hambatan atau tembok psikologi, dan kini bersedia untuk menyokong Barisan Nasional sebagaimana terbukti dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak pada 7 Mei, dan Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar pada 18 Jun.

“Saya berpuas hati dengan keputusan pilihan raya negeri Sarawak dan dua pilihan raya kecil,” katanya.

Perdana Menteri berkata, orang Cina bagus dalam membuat wang, tetapi mereka perlukan kestabilan politik dan keharmonian dalam hubungan kaum.

Satu daripada tafsiran, menurut Najib ialah, kaum Cina telah memecahkan hambatan psikologi, dan kini mahu menyokong BN.

Najib percaya bahawa masyarakat Cina mahukan kestabilan, dan kerajaan yang prihatin, serta memenuhi keperluan mereka.

“Saya akan lakukan yang terbaik untuk meyokong semua kaum,” katanya, sambil meminta kerjasama kaum Cina jika terdapat kelemahan di pihak kerajaan, mereka perlu memberitahu bagaimana untuk memperbaikinya.

Katanya: “Saya percaya kebanyakan masyarakat Cina tidak terikat kepada mana-mana parti dan mungkin ada ‘swing factor’ pada pilihan raya akan datang untuk menyokong atau menentang saya.”

“Tetapi terdapat  tanda positif kebelakangan ini bahawa orang ramai mula sedar bahawa politik perpecahan tanpa objektif dan polisi yang jelas tidak mendatangkan keyakinan untuk kesejahteraan negara,” katanya.

Beliau berjanji untuk mendengar dan melaksanakannya, dan tidak bercakap terlalu banyak seperti dilakukan oleh salah seorang pemimpin terdahulu daripada beliau, yang jelas merujuk kepada Tun Dr Mahathir Mohamad yang banyak mengkritik beliau. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru