Tuesday, August 16, 2022

Keluar atau kekal  dalam Kesatuan Eropah, itulah soalannya bagi Britain, esok

Secara Rawak

LONDON:  “Remain’’ or “Leave”. Kekal atau Keluar. Itulah soalannya.

Dengan hanya sehari sahaja lagi bagi rakyat Britain membuat perhitungan sama ada untuk kekal bersama Kesatuan Eropah (EU) atau keluar daripada kesatuan 28 negara itu, masa depannya dari segi politik dan ekonomi kini menjadi petaruhan dan perkiraan penting ketika membuat keputusan bagi referendum berkenaan pada Khamis.

Jejak pendapat yang dilakukan di negara ini menyatakan bahawa persaingan adalah 50-50, membayangkan dilema yang dihadapi rakyatnya tentang masa depan negara itu dengan setiap satu punya kesan positif dan negatif.

Rakyatnya masih berpecah belah dalam pendirian mereka menyedari bahawa bukan mudah untuk membuat keputusan penting yang menentukan masa depan negara berkenaan.

Malah, akhbar terkenal di negara itu juga saling menyatakan pendirian berbeza, ada yang menyokong dan ada yang menentang.

Maksudnya, warga Britain kelihatan serba salah berbaki pungutan penting satu hari sahaja lagi itu menentukan keputusan.

Masing-masing pihak telah berkempen hangat terutama sejak beberapa  minggu ini, dengan korbannya Jo Cox, 41, seorang wakil rakyat daripada Parti Buruh ditembak mati ketika hendak berjumpa orang ramai di utara England minggu lalu.

Sesungguhnya, kumpulan yang menentang dan kumpulan yang menyokong masing-masing mengemukakan hujah dalam kempen.

Bagi yang menyokong dengan slogan “Stronger, safer and better off in Europe”, hujah mereka ialah tiga juta pekerjaan adalah berkaitan dengan perniagaan di Eropah;  harga yang rendah jika bersama EU, 200,000 perniagaan bersama EU, dan 66 juta paun sehari datang daripada negara Eropah yang melabur di United Kingdom. Hujah lain ialah waran tangkap Eropah membantu negara menangkap penjenayah  seluruh Eropah menjadikan Britain lebih selamat, dan setiap 1 paun dibelanjakan, Britain akan dapat 10 paun dalam bentuk perniagaan, pekerjaan, pelaburan dan harga rendah.

Sebaliknya, bagi kumpulan yang berkempen supaya keluar daripada EU, mereka menggunakan slogan menggunakan “Take Back Control.”

Britain akan menjimatkan 350 juta paun seminggu, akan dapat mengawal sempadan sendiri, mengawal imigresen, bebas berniaga dengan seluruh dunia,dapat menggubal undang-undang sendiri, dan EU semakin mahu berkembang, dengan lima buah lagi negara mahu menganggotainya.

Namun, setiap hujah di atas dipatahkan dan dikemukakan dengan wacana tandingan yang lain, menjadikan isu penting ini dibahaskan dengan serius dan bertanggungjawab walaupun kadangkala terseret sama emosi. Memang, isu ini ialah isu yang emosional.

Ya, kumpulan mana yang akan menang pada hari Khamis, 23 Jun 2016?

Kumpulan yang bersetuju Britain keluar atau yang mahu Britain kekal dalam Kesatuan Eropah?

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru