Thursday, June 30, 2022

Cina Semenanjung ikut Cina Sarawak

Secara Rawak

Dr Lee Kuok Tiung, UMS
Dr Lee Kuok Tiung, UMS

Keputusan dua Pilihan Raya Kecil (PRK) di Sungai Besar, Selangor dan Kuala Kangsar, Perak pada 18 Jun 2016 seolah-olah mengesahkan ramalan undi Cina telah mulai beralih kepada Barisan Nasional (BN).

Persoalannya, akan demikiankah pola pengundian dalam kalangan pengundi Cina pada Pilihan Raya Umum ke-14?

Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-11 pada 7 Mei 2016 lalu menyaksikan BN berjaya merampas lima kerusi majoriti Cina daripada DAP, di samping mencatatkan peningkatan sokongan pengundi Cina secara keseluruhannya.

Meskipun perubahan itu tidak ketara, belum layak dilabel tsunami, ia cukup signifikan untuk mempengaruhi keputusan pilihan raya dan boleh menjadi petunjuk penting kepada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 akan datang.

Kedua-dua keputusan tersebut juga bermakna nasib tidak menyebelahi parti-parti Pakatan Rakyat (PR) sejak mereka berpecah pada Jun 2015.

Agak malang PAS telah berpecah kepada dua, menyaksikan kemunculan parti baharu, iaitu Amanah daripada kemelut tersebut. PAS terpaksa bertindak secara solo dalam kedua-dua PRK tersebut kerana DAP dan PKR memilih untuk bekerjasama dengan Amanah menerusi pakatan baharu yang baharu dibentuk dikenali sebagai Pakatan Harapan.

Senario ini secara logiknya memberitahu undi penyokong tegar DAP akan pergi kepada Amanah.

Kerjasama PAS-DAP-PKR yang mencecah usia tujuh tahun telah mencipta kejutan besar, menafikan majoriti dua per tiga BN pada 8 Mac 2008, dan seterusnya sekali lagi pada 5 Mei 2013 biarpun pada awalnya bertiup kencang ‘Ini Kali Lah’ mereka akan mengambil alih kerajaan daripada BN.

Kerusi yang dimiliki oleh ketiga-tiga buah parti tersebut sehingga hari ini pun masih merupakan hasil daripada kerjasama mereka menerusi Pakatan Rakyat.

Adakah pada PRU Ke-14 akan datang mereka akan cuba mengetepikan perbezaan dan keegoan masing-masing untuk berganding bahu menentang BN?

Iktibar daripada kemelut tersebut sebenarnya mendedahkan mana-mana parti bertanding mesti ada kerjasama dengan parti lain, apatah lagi keputusan kedua-dua PRK tersebut sekali lagi membuktikan calon Bebas sukar untuk menang.

Dalam PRN Ke-11 Sarawak, malahan PRU Ke-13 secara jelas telah menunjukkan calon Bebas sukar mendapat tempat dalam kalangan pengundi.

Nasihat awal kepada mana-mana individu yang ingin bertanding perlulah memastikan diri mereka bukan sahaja berada dalam parti yang kuat, tetapi gabungan kerjasama parti yang kuat.

Apa yang diingini oleh pengundi adalah kerjasama multietnik dan persefahaman yang utuh untuk mendapatkan kepercayaan mereka bagi meletakkan masa depan mereka di tangan wakil rakyat yang bakal diundi.

Mana-mana ahli politik yang cuba menonjolkan diri sebagai juara rakyat kepada satu-satu etnik tertentu sahaja tentu sukar mendapat tempat dalam kalangan masyarakat pluralistik Malaysia ini.

Jamal-‘Baju Merah’ dalam PRK di Sungai Besar pun ditunjukkan sebagai wira dalam pembebasan nelayan Sekinchan yang ditahan oleh pihak Indonesia.

Menariknya, isu 1MDB serta RM2.6 bilion yang menjadi taruhan utama Pakatan Harapan gagal menawan hati pengundi. Agaknya Pakatan Harapan selepas ini harus memikirkan isu baharu untuk menggantikan kedua-dua isu ‘rumit’ yang wajar dibikinkan filem untuk tontonan satu dunia.

Mungkinkah kedua-dua isu ini hanya popular dalam media sosial yang dikuasai oleh keyboard warriors yang sebenarnya hanyalah golongan minoriti dalam kalangan rakyat Malaysia?

Apa yang majoriti senyap mahukan nampak gayanya berkecenderungan kepada politik pembangunan dan kesejahteraan masyarakat.

Ramai lagi masyarakat Malaysia yang memerlukan pertolongan terutamanya golongan yang kurang berkemampuan, termasuk orang Cina.

Golongan profesional dan berpendapatan tinggi bukannya kedekut mahu bayar cukai, tetapi mereka mahu melihat wang itu dibelanjakan secara telus dan amanah untuk kesejahteraan rakyat.

Ini semuanya adalah keunikan setiap segmen dalam masyarakat Malaysia yang berlatarbelakangkan ciri-ciri demografi yang berbeza-beza.

Sepertimana kata-kata Sun Tzu, “All men can see these tactics whereby I conquer, but what none can see is the strategy out of which victory is evolved.” – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru