Tuesday, August 16, 2022

567 anggota kawal 31 pintu masuk Sarawak pada sambutan Aidilfitri : Pengarah Imigresen Sarawak

Secara Rawak

KUCHING : Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sarawak akan mengetatkan kawalan di semua pintu masuk negeri ini pada sambutan Hari Raya Aidilfitri akan datang yang dijangkakan pada 6 Julai bagi memantau kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI).

Pengarahnya, Ken Leben berkata, sebanyak 567 anggota akan bertugas dalam tempoh tersebut bagi memastikan kesemua 31 pintu masuk di negeri Sarawak tidak dibolosi.

“Sarawak mempunyai 14 pintu masuk melalui sempadan darat, 10 pintu pelabuhan dan tujuh pintu masuk melalui udara.

“Sesetengah pintu masuk ini beroperasi sehingga jam 12 tengah malam,” katanya lagi ketika ditemui pada majlis Penyerahan Sumbangan Kuih Raya yang disempurnakan Menteri Muda Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali di Bangunan Sultan Iskandar, dekat sini pagi tadi.

Sebanyak 200 bungkusan kuih raya telah diagihkan kepada anggota JIM Sarawak pada musim perayaan Aidilfitri kali ini, yang disumbangkan oleh lapan badan bukan kerajaan iaitu Pergerakan Wanita PBB Cawangan N7 Semariang, PERKIM Wanita Cawangan Dalat/Oya, Dewanita DUBS Negeri, Persatuan Ibu Tunggal Sarawak (PITSA), Koperasi Wanita Berhad (KOWASA), Persatuan Pengusaha Kek Lapis Sarawak dan Helwa HIKMAH.

Setiap bungkusan mengandungi kek hati parek, biskut nestum, biskut siput, serunding daging dan sago kombo.

Menambah lanjut, Ken menjelaskan, pihaknya telah menstrukturkan cuti semua anggota pada musim perayaan ini bagi memastikan keselamatan dan keamanan negara lebih diutamakan, biarpun pada musim perayaan.

“Pada masa yang sama kita akan meneruskan operasi harian dari Sematan hingga ke Merapok untuk memastikan sebarang kemasukan pendatang tanpa izin ini dikekang.

Sepanjang enam bulan pertama tahun ini katanya, JIM Sarawak berjaya menahan sekitar seribu PATI, dengan kebanyakannya adalah dari negara jiran, Indonesia. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru