Saturday, October 8, 2022

Tiga pertahanan import jalani ujian bersama skuad Bujang Senang

Secara Rawak

KUCHING: Bekas pertahanan Liberia dan pemain remaja Romania merupakan antara tiga pemain yang kini sedang diuji oleh skuad Sarawak bagi mengambil alih posisi yang ditinggalkan Davide Grassi, yang mengambil keputusan untuk berpisah dengan pasukan itu.

Tiga pemain pertahanan tersebut ialah Andrei Alexandru Cordos dari Romania, Vladimir Otasevic dari Serbia dan  Teah Dennis, bekas pemain pertahanan kebangsaan Liberia yang berusia 24 tahun.

Andrei Cordoș, 28 tahun, yang bermain di posisi pertahanan tengah  mula mencipta nama dengan kelab Universitatea Cluj selama empat tahun sebelum dipancing beberapa kelab tempatan Romania. Kelab terakhirnya adalah bersama Botosani.

Cordos pernah dipancing oleh beberapa kelab terkemuka seperti Lazio dan Steaua Bucuresti namun kelab lamanya, Universitatea Cluj enggan menjualnya manakala pada tahun lalu, bekas anggota skuad remaja bawah 19 dan 21 tahun Romania ini pernah menjalani ujian bersama kelab Scotland, Dundee United.

Sementara itu Vladimir Otasevic, 30 tahun,  merupakan pemain pertahanan yang bermain untuk kelab  Liga Super Serbian, Metalac Gornji Milanovac. Sepanjang kariernya sejak 2004, pemain kelahiran Nova Varos ini pernah bermain dengan lima kelab tempatan lain di Serbia dan telah menjaringkan lebih 150 gol. Jika terpilih, ini merupakan penghijrahan pertama beliau untuk bermain dengan kelab luar.

Teah Dennis pula merupakan pemain pertahanan kebangsaan Liberia dan pernah beraksi dalam beberapa perlawanan Piala Negara-Negara Afrika selain pusingan kelayakan Piala Dunia. Beliau juga berada dalam senarai  pemain ketika negara itu menentang Russia dan Brazil dalam aksi persahabatan.

Nama Teah Dennis mula melonjak apabila membantu Barrack Young Controllers FC menjuarai Piala Persatuan Bolasepak Liberia (LFA) dan LFA Super Cup. Beliau yang juga kapten pasukan ketika itu berjaya mengemudi pasukannya untuk layak ke dalam senarai 32 pasukan terbaik di Afrika ketika itu.

Foto GB13 Facebook
Foto GB13 Facebook

Pada musim 2014-2015, Teah Dennis telah dipinjamkan kepada pasukan Al Ahli FC di Jordan dan telah membantu pasukan itu menjuarai Piala Jordan.

Bagi pengendali Sarawak, David Usop, ketiga-tiga pemain ini memiliki profil yang menarik dan besar, namun beliau akan meneliti pelbagai aspek termasuk keserasian dan kelebihan yang ada pada mereka, sebelum dipilih untuk bermain pada posisi penting itu.

Jendela perpindahan pemain telah bermula pada 20 Jun dan akan ditutup pada 19 Julai depan  — memberi ruang kepada David untuk menguji kebolehan semua pemain yang terlibat.

Sementara itu, menyentuh tentang pemain import tempatan yang lain, David berkata, beliau tidak akan mengambil pemain tempatan dari luar bagi memperkukuh pasukannya.

“Sebaliknya saya akan memberi tumpuan kepada pemain-pemain anak Sarawak yang sedang mewakili negeri dalam Piala Presiden untuk diletakkan dalam skuad utama negeri.

“Saya percaya terdapat ramai bakat muda yang perlu diberi peluang, sambil diberi pendedahan untuk bermain dalam perlawanan yang besar, apatah lagi kita telah layak ke Piala Malaysia.

“Pendedahan seperti ini amat sesuai dan perlu dalam peningkatan karier mereka,” katanya ketika dihubungi hari ini.

David yang membimbing dua perlawanan terakhir Sarawak dalam Liga Super berkata, terdapat ramai pemain tempatan yang kini beraksi untuk beberapa pasukan yang bertanding dalam Liga Super dan Liga Perdana telah menghubunginya dan menyatakan minat untuk menyertai pasukan Ngap Sayot.

“Saya yakin pemain tempatan yang sedia ada dalam pasukan setanding dengan mereka, justeru saya tidak mahu memikirkan tawaran tersebut.

“Tumpuan saya kini adalah kepada pemain-pemain Piala Presiden, kerana ada antara mereka yang telah memainkan peranan yang baik ketika diberi peluang untuk beraksi,” tambahnya.

Aksi Piala Malaysia dan Liga Super akan bersambung selepas sambutan Aidilfitri depan. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru