Sunday, September 25, 2022

Tidakkah mereka berasa malu apabila berseluar pendek, kata Profesor Ridhuan

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Profesor Ridhuan Tee Abdullah tidak perlu mengajar rakyat Malaysia bagaimana mereka harus berpakaian, kata pengerusi kebangsaan Wanita MCA.

“Malaysia tidak perlukan Ridhuan Tee untuk ‘mengajar’ kita apa yang perlu dibuat atau bagaimana berpakaian,” kata Datuk Heng Seai Kie dalam satu kenyataan, Isnin.

Kenyataan itu adalah sebagai tindak balas terhadap tulisan dalam kolum Rudhuan yang mengkritik MCA dan cara berpakaian  bukan Islam yang suka ‘buka-buka’.

Pendakwah bebas dan pensyarah sebuah universiti tempatan itu mendakwa, pemimpinnya dan kalangan ultra kiasu memang suka  berpakaian singkat.

Katnya : “Atas alasan apa MCA mempertahankan pakaian seksi? Hak asasi manusia? Atau apa? Semuanya berpunca MCA dan sekutu ultra kiasunya tidak mahu nilai-nilai Islam mengakari negara ini. Mereka bimbang, jika ini berlaku, ia akan membawa kepada perlaksanaan hukum Islam.”

Ridhuan berkata: “Nak kata budaya Cina tidak juga. Sebab pakaian tradisi Cina amat bersopan. Tidakkah mereka berasa malu apabila berseluar pendek?,” katanya dalam kolum Sinar Harian, semalam.

Tulisan beliau dalam kolum berkenaan sentiasa kontroversi disebabkan gayanya yang berterus terang dan lepas bebas.

Beliau merupakan antara 50 orang aktivis, ahli akademik, dan pemimpin politik yang disekat daripada memasuki Sarawak atas alasan pandangan ekstrem tentang agama, kaum atau budaya.

Beliau mendakwa, sejak dahulu MCA tidak pernah lunak dengan Islam.

“Apa jua nilai-nilai Islam yang cuba diterapkan mesti ditentang. Misalnya, kaunter mengikut jantina, bonceng motosikal bukan mahram dan lain-lain lagi. Jangan cakaplah soal mahkamah syariah dan Akta 355,” katanya. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru