Tuesday, December 6, 2022

Tabung Haji pastikan makanan berkualiti dan bersih dihidangkan untuk jemaah Malaysia pada musim haji akan datang

Secara Rawak

MEKAH:  Untuk memastikan mutu makanan yang dihidangkan menepati piawaian kesihatan antarabangsa serta berkhasiat untuk jemaah haji Malaysia, pada tahun ini Tabung Haji akan menggunakan perkhidmatan beberapa syarikat penyaji makanan ada musim haji kelak.

Pada masa yang sama, syarat yang ketat daripada Kerajaan Arab Saudi dan Malaysia  turut dipatuhi untuk memastikan tahap kebersihan dan kesihatan pemakanan sentiasa menjadi keutamaan bagi mengelakkan sebarang insiden seperti keracunan makanan, tegas Pengurus Kanan Hal Ehwal Awam dan Komunikasi Korporat Kumpulan Tabung Haji, Mohamad Naser Jaffar.

“Jika berlaku cirit-birit, ia akan beri kesan pada ramai jemaah haji dan ini sekali gus akan memberi kesan kepada ibadat haji mereka, yang tempohnya terhad dan hanya setahun sekali.

“Kerana itulah, perkara ini amat dititikberatkan dan Kerajaan Arab Saudi akan bertindak menutup perkhidmatan penyaji makanan yang tidak mematuhi syarat ini,” katanya selepas meninjau persediaan syarikat penyaji makanan Al-Wafa Catering and Services di sini, hari ini.

Syarikat ini merupakan salah sebuah syarikat penyaji yang diberi tanggungjawab untuk menyediakan sajian makanan kepada 22,320 jemaah Malaysia pada musim haji nanti.

Al-Wafa Catering and Service telah 12 tahun menjadi antara salah satu syarikat panel penyaji makanan Tabung Haji.

Menjelas lanjut, Mohamad Naser berkata, sebelum bermulanya operasi haji setiap tahun, pihak Tabung Haji dan doktor-doktor daripada Kementerian Kesihatan akan memeriksa dapur syarikat penyaji makanan berkenaan.

“Langkah ini dibuat bagi memastikan dapur syarikat terbabit benar-benar bersih.

Setelah itu, pihak kesihatan Kerajaan Arab Saudi pula akan membuat pemeriksaan serupa,” katanya.

Sementara itu, Penolong Ketua Tukang Masak syarikat tersebut, Mohd. Hafizan Abu Hassan, 34 tahun, berkata, pihaknya akan memasak berdasarkan menu yang diberikan Tabung Haji supaya makanan dihidangkan berkhasiat dan menepati selera jemaah Malaysia.

“Setiap kali tiba musim haji, pihak kami akan menambahkan jumlah tukang masak supaya makanan yang dimasak menepati keperluan jemaah.

“Makanan yang disediakan adalah masakan bercita rasa Malaysia supaya jemaah tidak rasa janggal ketika berada di sini nanti,” katanya. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru