JAKARTA: Presiden Indonesia Joko Widodo meraikan hari jadinya yang ke-55 hari ini.
Beliau yang lebih mesra dikenali sebagai Jokowi, lahir di Surakarta, Jawa Tengah.
Dunia maya di negara 240 juta jiwa ini mengalir dengan ucapan selamat ulang tahun kepada Presiden yang disenangi rakyat itu meskipun berdepan pelbagai cabaran.
Ucapan selamat juga dirakamkan sejumlah tokoh politik, ahli perniagaan dan artis kepada Presiden ketujuh Indonesia itu.
“Selamat Ulang Tahun Pak Presiden @jokowi. Semoga senantiasa diberi kesehatan serta kekuatan dalam memimpin bangsa ini,” tulis Wakil Presiden Jusuf Kalla melalui akaun twitter @Pak_JK, Selasa.
Selain Jusuf Kala yang turut dikenali sebagai JK, tokoh yang pernah menjadi wakil Jokowi ketika menjadi Gabenor Jakarta turut menyampaikan ucapan selamat hari jadi kepada beliau.
Basuki Purnama atau lebih dikenali sebagai Ahok yang kini menggantikan Jokowi sebagai Gabenor Jakarta berharap Presiden Jokowi wewujudkan masyarakat Indonesia yang adil dari segi sosial.
“Selamat ulang tahun Pak @jokowi, sehat dan panjang umur. Terus semangat dalam mewujudkan keadilan sosial bagi seluruh rakyat Indonesia,” ucap Ahok dalam akaun twitter @basuki_btp.
Joko Widodo berasal daripada keluarga sederhana dilahirkan pada 21 Jun 1960. Lulusan Fakultas Kehutanan Universitas Gajah Mada ini merupakan usahawan perabot.
Beliau berjaya mengubah wajah kota Surakarta atau Solo menjadi kota pelancongan, kota budaya, dan kota batik ketika menjadi wali kotanya.
Semenjak terpilih sebagai Gabenor Jakarta, namanya melantun ke papan atas sehingga akhirnya beliau dikemukakan sebagai calon Presiden oleh PDI-P pimpinan Megawati Soekarnoputri.