Thursday, September 29, 2022

Puasa ajar lawan godaan hawa nafsu, kata Najib

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata berpuasa mengajar perihal kesabaran melawan godaan hawa nafsu selain mendalami dan merasai jerih payah mereka yang kurang bernasib baik.

Perdana Menteri mengajak umat Islam berpuasa dengan niat beribadah kepada Allah SWT, selain menaakul pengertian Ramadan yang bukanlah sekadar menahan lapar dan dahaga serta mengawal hawa nafsu.

Beliau mengingatkan umat Islam di negara ini supaya menghayati ibadah puasa sebagai melatih insan menjadi lebih baik dari segi ukhrawi.

“Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi atas kurniaan rahmat-Nya, kita telah dua minggu berpuasa di Malaysia dalam keadaan yang aman dan damai, dengan limpahan rezeki tanpa kurangnya pilihan juadah berbuka di bulan Ramadan tahun ini,” katanya dalam catatan terbaharu di blog NajibRazak.com, semalam.

Najib berkata, puasa mengajar insan menjadi lebih sempurna dari segi duniawi dalam tindak-tanduk seharian.

“Inilah sebahagian pengertian Ramadan yang harus bersama kita hayati, semoga ia menjadikan kita umat Islam yang lebih tawaduk dan manusia yang lebih bersyukur dan seterusnya beroleh rahmat dan keberkatan daripada Allah SWT, Insya-Allah,” katanya.

Dalam catatan bertajuk ‘Menghayati Pengertian Ramadan’, Najib turut menyelitkan beberapa potongan ayat al-Quran dan hadis yang relevan dengan puasa.

Najib memetik hadis riwayat Thabrani bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Betapa banyak orang yang berpuasa, tapi ia tidak mendapatkan apa-apa daripada puasanya itu selain lapar dan dahaga.” Amatlah rugi sekiranya kita tergolong dalam golongan seperti ini.” – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru