Monday, November 28, 2022

Penceramah bebas agama Islam perlu kemuka permohonan dua  minggu lebih awal

Secara Rawak

KUCHING: Penceramah bebas yang berhasrat menyampaikan ceramah di masjid dan surau di Sarawak perlu mengemukakan permohonan kepada Majlis Islam Sarawak (MIS) dua minggu lebih awal sebelum tarikh ceramah.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg berkata, tujuannya adalah bagi memelihara perpaduan ummah dan keharmonain masyarakat pelbagai kaum, agama, dan budaya di negeri ini.

Tempoh berkenaan akan digunakan oleh MIS bagi menyelidik latar belakang penceramah demi memastikan tidak ada penceramah yang tidak sesuai dibenarkan menyampaikan ceramah sehingga menimbulkan konflik dan perpecahan dalam masyarakat.

Sambil mengakui bahawa arahan berkaitan tempoh dua minggu sebagai sesuatu yang baharu, Abang Johari yang juga Menteri Perumahan dan Urbanisasi berkata, ia bukan untuk menyulitkan mana-mana pihak.

“Kita  hendak pastikan perpaduan ummah dan keharmonian hubungan kaum sedia ada di negeri ini terpelihara,” katanya.

13495676_1707025642896604_8887335057429985416_o

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Agihan Sumbangan MIS kepada Masjid dan Surau Bahagian Kuching di Dewan Kompleks Islam Sarawak di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Abang Johari yang juga Ahli Dewan Undangan Satok berkata, menyelidik latar belakang penceramah penting kerana di negara ini terdapat pelbagai fahaman berbeza.

“Kita perlu elakkan kekeliruan dan perpecahan kaum dan agama,” tegasnya.

Lagipun, katanya, masjid dan surau perlu memelihara dan menjaga kawasan masing-masing, dan tidak mengizinkan sebarang ceramah tanpa kebenaran pihak berkuasa.

Pada majlis itu,  223 surau dan 98 masjid di Bahagian Kuching menerima sumbangan keseluruhan berjumlah RM321,000 bertujuan untuk menjalankan program keagamaan, terutama bagi mengimarahkan masjid pada bulan Ramadan.

MIS dengan kerjasama Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) memberi sumbangan berjumlah RM1.4 juta kepada 1,415 masjid dan surau di seluruh negeri. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru